Gelanggang 'panas' Stadium Sultan Mohamad ke IV malam esok pastinya bergegar dan kawalan ketat terhadap penyokong, pemain dan semua yang hadir sangat diperlukan.
Ini termasuk langkah dan kawalan keselamatan yang perlu dilakukan Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) pada pertemuan suku akhir kedua Piala Malaysia tuan rumah menentang Terengganu esok.
Stadium yang dijangka akan mula dibuka jam 6.30 petang menjanjikan debaran kuat kepada pemain Terengganu dan sokongan moral yang hebat kepada pasukan Kelantan.
Insiden 5 kad merah dan 10 kad kuning di Kuala Terengganu Isnin lalu boleh dikatakan tidak membabitkan sangat penonton tetapi di Kota Bharu, apa sahaja boleh berlaku.
Sebanyak 20,000 keping tiket mula dijual pagi esok pada harga RM30 bagi tempat duduk berbumbung (Astaka) dan RM15 terbuka.
Berikutan itu penyokong Kelantan diminta datang awal untuk mendapatkan tiket-tiket perlawanan bagi mengelakkan berlakunya kesesakan di kaunter-kaunter jualan.
Penyokong dinasihatkan supaya membeli tiket di kaunter jualan bagi mengelakkan mereka membeli dengan harga yang mahal dari pihak yang ingin mengambil kesempatan di atas permintaan yang tinggi.
Tidak diketahui seramai mana penyokong Terengganu ‘berani’ ke Kota Bharu walaupun Presiden KAFA, Tan Sri Annuar Musa member jaminan KAFA dan pihak keselamatan akan membuat perbincangan khusus untuk memastikan perlawanan berjalan lancar.
Timbalan Ketua Polis Kelantan, Datuk Mazlan Lazim menasihatkan semua penyokong supaya mengikuti segala peraturan yang telah ditetapkan oleh pihak stadium dan memberikan kerjasama kepada polis.
''Pihak kami akan bertindak tegas kepada mana-mana individu yang melanggar peraturan dan cuba mewujudkan suasana tidak selesa sepanjang perlawanan tersebut. Selain itu kita akan menambah jumlah anggota keselamatan untuk mengawal keadaan sepanjang perlawanan tersebut," katanya.
Semua pihak mengakui pertemuan kedua-dua pasukan tersebut merupakan perlawanan yang sengit dan dijangkakan menarik lebih ramai penyokong untuk hadir menyaksikan aksi tersebut.
"Kawalan pintu masuk akan diperketatkan dengan kerjasama pihak keselamatan yang akan membuat pemeriksaan rapi untuk memastikan penyokong yang hadir ke stadium (Stadium Sultan Muhammad IV) tidak membawa masuk barangan larangan seperti mercun dan bunga api yang boleh menganggu serta mencederakan orang lain.
"Selain itu, anggota keselamatan yang berpakaian biasa akan ditempatkan dalam stadium sebagai langkah pencegahan untuk mengelak berlakunya sebarang insiden tidak diingini.
"Untuk mengelakkan berlakunya kesesakan, KAFA akan membuka pintu masuk stadium seawal pukul 6.30 petang," katanya di Kota Bharu, semalam.
Harapan adalah penyokong setia Red Warriors dapat memberikan kerjasama kepada anggota keselamatan untuk memastikan tidak berlaku sebarang insiden yang boleh mencemarkan perlawanan tersebut.
No comments:
Post a Comment