Friday, October 7, 2011
Kerajaan Negeri Belanja RM1j lagi Untuk 20,000 Remaja
Kerajaan negeri akan membelanjakan RM1 juta lagi untuk diagihkan kepada kira-kira 20,000 remaja atau belia di negeri ini yang dikesan tercicir daripada menerima dana khas Aidilfitri lalu.
Bayaran RM200 seorang itu akan diagihkan kepada golongan itu sebelum menjelang Hari Raya Aidiladha bulan depan.
Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Said berkata, keputusan itu dicapai oleh semua Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri setelah semakan dibuat ke atas senarai penerima dan didapati masih ada yang belum tersenarai.
"Berdasarkan semakan yang dilaksanakan, didapati ada juga yang kehilangan MyKad dan sebagainya sehingga tak menerimanya," katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Mingguan Exco, Kuala Terengganu, kelmarin (5 Oktober).
Katanya, kerajaan negeri mengharapkan remaja yang menerima dana itu supaya berbelanja secara berhemah dan bukannya menggunakan wang itu kepada perkara yang tidak berfaedah.
“Untuk tahun ini kira-kira 50,000 orang sepatutnya menerima bantuan dana khas raya membabitkan peruntukan RM4 juta,” katanya.
Program Bakti Remaja diperkenalkan sejak 2000 lagi di mana remaja yang berumur 21 tahun ke atas layak menerima RM200 seorang.
No comments:
Post a Comment