Monday, October 10, 2011

Kerajaan Pertimbang Kempen Boikot "Kedai Cekik Darah' -

Kerajaan negeri bercadang melancarkan kempen memboikot ‘kedai cekik darah’ jika peniaga di negeri ini masih meletakkan harga tinggi dan tidak munasabah sehingga membeban serta menimbulkan kesulitan kepada pengguna.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Perpaduan dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Dr. A. Rahman Mokhtar berkata, bagi tujuan itu, kerajaan menerusi badan bukan kerajaan (NGO) sedia memikirkan kaedah sesuai sekiranya masih ada peniaga degil.

Katanya, persatuan pengguna atau NGO di peringkat daerah akan menggerakkan kempen itu dengan mengenal pasti serta menyenaraikan kedai atau premis yang sengaja menaikkan harga barang-barang kawalan.

‘‘Oleh itu masyarakat di negeri ini diminta membuat aduan jika mengetahui ada peniaga yang cuba mengaut untung berlipat ganda tanpa memikirkan kira kepentingan pengguna,’’ katanya.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Besut menyatakan demikian selepas merasmikan Sukan Rakyat Peti Undi Seberang Barat Luar Kuala Besut semalam.

Menurut beliau, laporan mengenai kegiatan kedai tidak bertanggungjawab itu boleh dikemukakan di Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) negeri dan juga pejabat cawangannya di daerah-daerah.

Bagaimanapun, jelasnya, setiap laporan perlu disertakan maklumat terperinci termasuk lokasi, masa, jenis makanan untuk diteliti pegawai penguatkuasa KPDNKK.

Mengenai rungutan yang mendakwa harga bahan makanan di negeri ini terutama di Kuala Terengganu lebih mahal berbanding tempat lain, beliau mengakui hakikat tersebut.

Bagaimanapun katanya, kos pengangkutan darat yang jauh dari ibu negara ke Terengganu dikenal pasti menjadi faktor utama masalah itu berlaku.

“Faktor kedua pula mungkin kuasa beli rakyat Terengganu lebih baik terutama semasa kerajaan negeri menyediakan pelbagai dana kepada rakyat yang mungkin diambil kesempatan oleh peniaga untuk menaikkan harga,” ujarnya.

“Malah, dalam bajet kerajaan negeri tahun lalu sebanyak RM1.8 bilion yang merupakan kedua tertinggi selepas Sarawak turut menyumbang kepada faktor kenaikan harga barang di negeri ini,” ujarnya.

Utusan Malaysia

No comments:

Post a Comment