Kubu kuat Pas di Dun Rhu Rendang berjaya ditembusi apabila Barisan Nasional (BN) menubuhkan cawangan baru di kawasan itu sejak setahun lalu melalui penubuhan Umno Cawangan Kampung Bukit.
Ketua Umno cawangan terbabit, Wan Kamaluddin Wan Chik, 43, berkata, penubuhan cawangan itu atas desakan golongan belia setempat yang berputus asa melihat perubahan positif setelah pembangkang mendapat kuasa.
“Kekecewaan belia mulai dirasai apabila sudah tujuh generasi tok guru (Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang) perintah (Dun Rhu Rendang), namun tiada sebarang perubahan dilakukan termasuk sebarang kemajuan untuk rakyat.
“Oleh itu, golongan itu bertekad mengubah rasa dan jalan yang terbaik ialah menubuhkan cawangan ini untuk bersama-sama dengan BN,” katanya pada pertandingan memancing anjuran Umno cawangan Kampung Bukit di Marang.
Pada pertandingan memancing dirasmikan Pegawai Pembagunan Parlimen Marang, Senator Datuk Abdul Rahman Bakar itu, seramai 150 peserta mengambil bahagian dalam aktiviti bermula seawal pukul 8 pagi.
Wan Kamaluddin berkata, pertandingan julung kali diadakan itu adalah sempena ulang tahun pertama penubuhan Umno cawangan Kampung Bukit.
“Pemenang ini ditentukan melalui ikan paling berat dan remaja berusia 13 tahun, Adik Syami berjaya dinobatkan sebagai juara keseluruhan apabila dia berjaya menaikkan ikan haruan seberat 500 gram,” katanya.
Menurutnya, memancing sama ada di laut, sungai, tasik atau tali air sering dikaitkan dengan aktiviti lelaki dewasa.
Katanya, namun, pada pertandingan itu, kira-kira 33 kanak-kanak tidak melepaskan peluang mencuba nasib bersaing dengan peserta lebih dewasa.
“Malah, pertandingan turut disertai kanak-kanak perempuan dan suri rumah serta warga emas,” katanya.
Sinar Harian
No comments:
Post a Comment