Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek memberi jaminan mutu pengadilan perlawanan akhir bola sepak Piala Malaysia di Stadium Shah Alam Sabtu ini, di tahap terbaik.
Selepas perbincangan dengan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), dia berpendapat mutu pengadilan bagi final saingan berprestij di antara Terengganu dan Negeri Sembilan itu perlu dikawal kerana emosi penonton pasti jauh lebih hebat berbanding perlawanan lain sebelum ini.
“Pada perlawanan itu nanti, hanya dua pasukan saja bertarung, jadi perhatian dan jumlah penonton juga lebih tinggi berbanding sebelum ini.
“Justeru perbincangan dengan FAM mengambil kira kepentingan aspek pengadilan yang telus bagi mengelak sebarang masalah termasuk provokasi dan bantahan penyokong yang akan menyumbang kepada berlakunya ketegangan,” katanya selepas majlis pemimpin bersama rakyat di Kampung Padang Kubu, Kemaman, Terengganu, semalam.
Mengenai permukaan padang Stadium Shah Alam yang kurang memuaskan, dia berkata setakat ini KBS dimaklumkan pentas final masih kekal dan sebarang perubahan bergantung pada budi bicara FAM.
“Kita berharap tiada kekecohan, biarlah pertandingan berakhir dengan aman tanpa sebarang titik hitam dalam sejarah bola sepak negara. Kita memohon kerjasama penonton menjaga adab dan tata susila untuk memelihara kelancaran perlawanan,” katanya.
Sementara itu, tiket final Piala Malaysia 2011 akan dijual mulai hari ini dengan Negeri Sembilan dan Terengganu masing-masing diperuntukkan 30 ribu tiket, manakala baki lima ribu dijual di Stadium Shah Alam.
Harga tiket ditetapkan RM50 bagi semua tempat duduk dan RM5 untuk kanak-kanak dengan Terengganu turun sebagai tuan rumah edisi final kali ini.
No comments:
Post a Comment