Sunday, October 2, 2011

Perbanyakkan Penyelidikan Untuk Transformasi Negara, Komuniti Setempat

Raja Permaisuri Agong Tuanku Nur Zahirah mengucapkan syabas dan tahniah kepada Universiti Malaysia Terengganu (UMT) kerana menubuhkan Fakulti Pembangunan Sosial (FPS) dan Pusat Pembangunan Sosioekonomi (PPS).

Tuanku Nur Zahirah bertitah penubuhan FPS dan PPS yang baru itu, mampu menjadi pemangkin melalui akvititi penyelidikan dan pembangunan yang berkaitan bagi mengatasi masalah sosial yang melanda masyarakat sekarang.

Melahirkan rasa bangga dengan pencapaian UMT dalam pelbagai bidang di peringkat nasional dan antarabangsa, Seri Paduka yang merupakan Canselor UMT bertitah: "Walaupun universiti ini masih dianggap muda di persada dunia akademik, Beta berharap agar UMT terus gigih berusaha dalam mengekal dan meningkatkan kejayaan ke arah mencapai taraf unversiti penyelidikan setanding negeri universiti tersohor di dunia."

“Beta merakamkan tahniah dan syabas terhadap penubuhan fakulti dan pusat tersebut," titah Seri Paduka pada majlis Konvokesyen UMT kali kesembilan di Kuala Terengganu, semalam.

Canselor UMT turut menitahkan UMT mengambil langkah proaktif dalam aktiviti penyelidikan dan pembangunan yang dapat memberi sumbangan bukan sahaja kepada transformasi negara tetapi juga kepada komuniti setempat.

Yang Dipertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin berkenan berangkat ke majlis itu, diiringi Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Said dan Pro Canselor Tan Sri Samsuddin Osman. Turut hadir bekas Perdana Menteri Tun Mahathir Mohamad dan isteri Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali serta Naib Canselor UMT Prof Datuk Dr Aziz Deraman.

Pada majlis itu, Tuanku Nur Zahirah menyampaikan Anugerah Kehormat Doktor Sains UMT kepada Dr Mahathir.

Seramai 86 graduan menerima Diploma, 1,677 orang (Ijazah Sarjana Muda), 110 orang (Ijazah Sarjana) dan 15 graduan menerima Ijazah Kedoktoran pada konvokesyen ini.

Dalam titah ucapan itu baginda turut berpesan kepada para graduan agar sentiasa menjaga nama baik universiti, tidak kira di mana berada memandangkan mereka adalah duta kepada universiti itu.

Baginda bertitah, universiti merupakan institusi penjanaan ilmu dalam merencanakan pembangunan modal insan selain pemacu kepada kecemerlangan penyelidikan dan pembangunan.

No comments:

Post a Comment