Sunday, October 16, 2011

Perkhidmatan Klinik Rawatan Katarak Bergerak 1Malaysia Dilancar Tahun Depan

Kementerian Kesihatan akan memulakan perkhidmatan Klinik Rawatan Katarak Bergerak 1Malaysia pada pertengahan tahun depan yang dijangka dapat membantu menangani masalah katarak yang merupakan penyebab utama masalah penglihatan di negara ini.

Ketika mengumumkan perkara itu, Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin berkata berikutan itu kerajaan bercadang untuk membeli enam buas bas yang akan ditempatkan mengikut zon iaitu zon utara bagi negeri Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Perak, zon tengah (Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Negeri Sembilan), zon selatan (Melaka, Johor), zon timur (Pahang, Terengganu, Kelantan), Sarawak dan Sabah.

"Unit bergerak ini akan dilengkapkan dengan peralatan yang canggih bagi tujuan saringan antara lain seperti katarak, ralat refraktif, glokoma dan retinopati diabetes.

"Ia juga akan membawa kelengkapan peralatan dewan bedah bagi tujuan pembedahan di hospital-hospital daerah," katanya ketika berucap pada majlis pelancaran Hari Penglihatan Sedunia 2011 peringkat kebangsaan di Atrium Utama Suria Sabah di sini hari ini.

Rosnah berkata unit itu akan memudahkan pesakit yang tidak mampu ke bandar untuk mendapatkan rawatan daripada hospital utama atau terlalu jauh daripada tempat mereka.

Katanya unit pengagihan cermat juga akan berada di dalam unit berkenaan, sekaligus membantu pesakit yang kurang mampu untuk membeli atau membuat cermin mata.

Beliau langkah seumpama itu akan menggalakkan pesakit untuk mendapatkan rawatan bagi penglihatan mereka pada peringkat awal dan tidak membiarkan keadaan itu menjadi lebih teruk.

"Kita harap dengan adanya konsep perkhidmatan bergerak ini, masalah ralat refraktif terutama di kalangan kanak-kanak dapat diatasi," katanya.

Rosnah berkata kementerian itu turut mengemudi Program Pencegahan Kebutaan anjuran kerajaan yang membantu memastikan semua kanak-kanak mendapat saringan penglihatan sekurang-kurangnya sekali sebelum memasuki alam persekolahan.

Dalam hal ini, katanya kementeriannya kini giat menjalankan program khas di beberapa tempat terpilih iaitu saringan bagi kanak-kanak berumur 0-3 tahun di Sabah, saringan bagi kanak-kanak berumur 3-6 tahun yang dijalankan di Selangor, Kelantan, Perak dan saringan kanak-kanak berumur 7 tahun ke atas di sekolah-sekolah sekitar Terengganu.

1 comment:


  1. Info dan program yang berguna untuk masyarakat sekiranya ianya menjadi satu kenyataan. Katarak boleh disebabkan oleh faktor usia dan faktor sekunder iaitu penyakit kronik seperti kencing manis dan darah tinggi. Untuk mencegah katarak, mata perlu dijaga dari awal kerana proses pembentukan selaput pada kanta mata adalah satu proses yang perlahan dan berterusan. Bagi mencegah katarak, seseorang yang berisiko tinggi digalakkan untuk mengamalkan pemakanan yang kaya dengan Vitamin C, beta-carotene dan Vitamin E. Selain itu, bagi mereka yang menghidap penyakit-penyakit kronik, kawalan penyakit itu sangat penting. Merokok dan pengambilan minuman keras juga tidak digalakkan kerana ia boleh mengurangkan kandungan air di dalam kanta dan menyebabkan kanta menjadi kering dan tidak kenyal.

    ReplyDelete