Monday, October 31, 2011

Persembahan Gamelan Pada Hari Pertama Memukau

Kumpulan Gamelan Sanggar Kirana, Universiti Teknologi Petronas membuat persembahan pada Pertandingan Gamelan Melayu Peringkat Kebangsaan 2011 di UniSZA, Kuala Terengganu, kelmarin.

Sembilan kumpulan gamelan mempamerkan persembahan mantap pada hari pertama Pertandingan Gamelan Melayu Peringkat Kebangsaan 2011 yang diadakan di Dewan Al Kuala Terengganu, kelmarin.

Persembahan yang memukau kira-kira 300 hadirin itu, dimulakan paluan gamelan daripada Kumpulan Gamelan SaGa UniSZA yang disertai seramai 11 orang ahli.

Ia seterusnya dimeriahkan dengan persembahan hebat dan bertenaga dari Kumpulan Gamelan Sanggar Kirana, Universiti Teknologi Petronas, Perak yang mendapat tepukan gemuruh daripada penonton apabila menyelitkan unsur-unsur gerak tari dalam persembahan mereka.

Selain dua buah kumpulan itu, tujuh kumpulan lain adalah UPNM Gamelan Group (Universiti Pertahanan Negara), Kumpulan BAYU (Universiti Malaysia Sarawak), UTP Gamelan Group (Universiti Teknologi Petronas), Kumpulan Gema Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA), Kumpulan Gamelan Kuala Lumpur, Kumpulan Gamelan MASenidaya, Kuala Lumpur dan Kumpulan Gamelan Sari (Universiti Teknologi Mara Terengganu).

Para peserta yang mengenakan kostum tradisional Melayu golongan raja dan permaisuri zaman dahulu ketika menyampaikan persembahan turut memeriahkan suasana pertandingan itu yang diadili oleh tujuh orang juri.

Pada hari kedua dan juga terakhir pertandingan itu malam ini, lapan buah kumpulan lagi bakal berentap iaitu Kumpulan Gamelan Asuhan Seni 1 dan 1, Istana Budaya, Kuala Lumpur; Kumpulan Gamelan Atika Seni, Universiti Sains Pulau Pinang (USM); Kumpulan Gamelan Simfoni Lokananta Universiti Teknologi Mara (UiTM) Dungun; Kumpulan Gamelan Citra Nusantara, UPNM; Kumpulan Gamelan Indera Kayangan Perlis; Kumpulan Gamelan Pelita ASWARA dan Kumpulan Gamelan KONGA, UniSZA.

Pertandingan dibahagikan kepada dua kategori iaitu kategori gamelan Melayu tradisional dan kontemporari/kreatif.

Bagi kategori gamelan Melayu tradisional, kumpulan dikehendaki menyampaikan dua buah lagu iaitu satu lagu gamelan Melayu instrumental dan satu lagu secara vokal.

Dalam kategori kontemporari pula, kumpulan dikehendaki menyampaikan dua lagu gamelan Melayu sama ada instrumental ataupun vokal dan satu lagu kontemporari atau kreatif ciptaan sendiri di mana selain sembilan alatan asas, alatan muzik tradisional yang lain boleh digunakan.

Turut hadir Pengarah Muzium negeri, Mohd. Yusof Abdullah.

Terdahulu, Mohd. Yusof dalam ucapannya berkata, beliau berharap melalui acara ini dapat melahirkan bakat-bakat baru yang muda sekali gus dapat mengangkat martabat muzik gamelan itu sebagai warisan kebanggaan negara.

"Memainkan peralatan muzik tradisional bukan mudah, namun saya bangga kerana pada malam ini dapat melihat ramai anak muda bermain gamelan dengan hebat dan itu yang kita usahakan selama ini agar warisan ini tidak dilupakan," katanya.

Utusan Malaysia

No comments:

Post a Comment