Friday, October 7, 2011

Polis Tingkat Kawalan Keselamatan Di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah

Polis Terengganu akan mempertingkatkan kawalan keselamatan di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah di sini ketika berlangsung perlawanan suku akhir Piala Malaysia antara Terengganu dan Kelantan, Isnin ini.

Ketua Polis Terengganu Datuk Jamshah Mustapa, berkata anggota polis daripada pelbagai unit termasuk Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) akan ditugaskan mengawasi keadaan di luar dan di dalam stadium bagi memastikan tiada kekacauan berlaku.

Katanya pemeriksaan rapi pada badan dan beg setiap penonton akan dilakukan di pintu masuk stadium bagi mengesan kemungkinan ada penyokong membawa masuk barangan berbahaya seperti senjata atau mercun.

“Saya menyeru penyokong kedua-dua pasukan supaya tidak menimbulkan sebarang provokasi yang boleh mencetuskan ketegangan dan pergaduhan,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini Khamis.

Polis akan mengambil tindakan tegas terhadap penonton yang sengaja mencetuskan kekacauan sebelum, semasa atau selepas perlawanan itu, katanya.

Semalam, Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Said mengingatkan penyokong Terengganu supaya tidak mengulangi perbuatan membaling objek seperti botol air dan mercun ke dalam padang.

Beliau mengulas gelagat penyokong Terengganu yang membaling botol air dan mercun ketika pasukan itu menentang Negeri Sembilan pada perlawanan peringkat kumpulan Piala Malaysia di Stadium Sultan Nasiruddin Shah malam Isnin lalu, yang menyebabkan perlawanan tertangguh seketika.

Terengganu akan menentang pasukan Kelantan pada Isnin ini dan pertemuan antara gergasi Pantai Timur itu dianggap sebagai perlawanan pilihan.

No comments:

Post a Comment