Tuesday, October 11, 2011

RHB Islamic Bank Perluas Produk Ar-Rahnu Ke Seluruh Negara

RHB Islamic Bank akan memperluaskan produk Ar-Rahnu di setiap cawangan bank itu di seluruh negara dengan sasaran awal iaitu cawangan RHB Islamic Bank Bandar Baru Bangi.

Cawangan lain yang akan diwujudkan Produk Ar-Rahnu ialah Taman Setia Tropika Johor Bharu, Taman Flora Utama Batu Pahat, Dataran Glomac Kelana Jaya, Jalan Raja Laut Kuala Lumpur, Sungai Petani (Kedah) dan Shah Alam.

"Rancangan pembukaan itu akan dibuat secara berperingkat-peringkat dengan pengenalan produk itu di RHB Islamic Bank Bandar Baru Bangi sebelum akhir tahun ini," kata Ketua Pegawai Eksekutif/Pengarah Urusan RHB Islamic Berhad Abd Rani Lebai Jaafar.

Yang turut hadir pada majlis itu Pengarah Wilayah Pantai Timur Kumpulan Perbankan RHB Nazri Othman.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Produk Pinjaman Pajak Gadai Islam (Ar-Rahnu-i) kedua di cawangan RHB Islamic Bank, Pusat Niaga Paya Keladi di Kuala Terengganu, semalam.

Pada April lepas, bank itu telah membuka Produk Ar-Rahnu pertamanya di RHB Islamic Bank cawangan Kubang Kerian, di Kota Baharu, Kelantan.

Abd Rani berkata, Ar-Rahnu merupakan pajak gadai Islam yang menggabungkan konsep syariah iaitu Ar-Rahnu, Al-Wadiah Yad Dhamanah dan Al-Qard.

Katanya, RHB Islamic Bank menawarkan pakej istimewa kepada pelanggan Ar-Rahnu yang digabungkan dengan produk wasiat yang boleh menikmati pembiayaan sehingga 75 peratus daripada jumlah gadaian emas.

"Berpandu kepada produk Ar-Rahnu pertama di cawangan RHB Islamic Bank cawangan Kubang Kerian itu, kita yakin RHB Islamic Bank di sini pun memperolehi kejayaan yang sama atau lebih baik lagi," katanya.

Katanya, keyakinan itu memandangkan kaum wanita di negeri Terengganu dan Kelantan yang minat berniaga dan mereka ingin mendapatkan wang dengan cara yang mudah untuk dijadikan modal perniagaan masing-masing.

Setelah lima bulan produk Ar-Rahnu beroperasi, beliau berkata RHB Islamic Bank di Kubang Kerian telah mengeluarkan pembiayaan sehingga RM1.30 juta manakala jumlah anggaran gadaian emas pula adalah RM1.84 juta.

Abd Rani berkata, secara purata jumlah pembiayaan dan nilai gadaian emas adalah RM258,000 juta dan RM369,000 setiap bulan.

Beliau berkata RHB Islamic Bank mampu mengeluarkan pembiayaan dari RM100 hingga RM50,000 dengan tempoh setahun bagi penebusan balik pajakan.

"Kita tahu wanita di sini meminati barang kemas seperti emas. Ia satu perkara yang menguntungkan kerana harga emas tidak pernah jatuh," katanya

No comments:

Post a Comment