Monday, October 17, 2011

Sungai Nerus Biak Kelah, Lampan & Kerai

Sebanyak 12,000 benih ikan kelah, lampam dan kerai telah dilepaskan di perairan umum Sungai Kampung Pelong dalam usaha untuk mengekalkan populasi ikan air tawar daripada terus mengalami kepupusan.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani negeri, Asha’ari Idris berkata, pelepasan benih ikan yang dilakukan oleh Jabatan Perikanan Malaysia itu kali kedua tahun ini selepas projek pertamanya di Tasik Kenyir, Hulu Terengganu.

“Kali ini Sungai Nerus, Kampung Pelong dipilih kerana dilihat sangat bersesuaian dengan keadaan biologi asal sungai sememangnya kaya dengan spesies ikan air tawar.

“Saya harap penduduk setempat dapat memberi kerjasama mengekalkan keadaan biologi Sungai Nerus yang amat sesuai dengan ikan air tawar,” katanya.

Kata Asha’ari, beliau yakin Sungai Nerus yang melibatkan tiga buah kampung sekitarnya iaitu Kampung Pelong, Seri Kenangan dan Payung berpotensi untuk menjadi santuari ikan suatu hari nanti sekiranya diberi penjagaan rapi.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis pelepasan benih ikan ke perairan umum Sungai Kampung Pelong, semalam.

Menurutnya, projek pelepasan benih ikan di Sungai Nerus ini di bawah pemantauan Jabatan Perikanan Terengganu akan menjadi projek perintis untuk Setiu dan sekiranya ia menampakkan hasil positif tidak mustahil akan dikembangkan lagi ke beberapa kawasan yang dikenal pasti.

“Kini kita telah menerima beberapa permohonan daripada pihak yang berminat untuk melaksanakan projek tersebut tetapi ia terpaksa ditangguhkan buat sementara waktu bagi memberi peluang kepada Jabatan Perikanan membuat penilaian mengenai keberkesanan projek di kawasan ini terlebih dahulu,” katanya.

Turut hadir pada majlis itu Pengarah Jabatan Perikanan Terengganu, Zakaria Ismail dan Yang Dipertua Majlis Daerah Setiu (MDS), Ishamudin Hashim.

No comments:

Post a Comment