Friday, October 28, 2011

Tiket Final Pasaran Gelap Dijual RM45

Bagai ada yang tidak kena apabila tiket final Piala Malaysia di antara Terengganu dan Negeri Sembilan yang dilaporkan habis dijual kelmarin, dikesan masih dijual semalam.

Bagaimanapun, penjualan tersebut dipercayai dilakukan oleh orang perseorangan yang membeli secara borong menerusi harga subsidi yang ditawarkan oleh kerajaan negeri.

Tiket tersebut kemudiannya dijual dengan harga hampir dua kali ganda berbanding harga subsidi.

Tinjauan Utusan Malaysia di pekarangan pejabat Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) di Kuala Terengganu, mengesan seorang penjual tiket pasaran gelap yang berlegar-legar mencari pembeli yang sanggup membayar dengan harga hampir dua kali ganda.

Difahamkan, tiket yang dibeli pada harga subsidi sebanyak RM25, dijual kepada peminat yang gagal membeli tiket semalam dengan harga RM45 sekeping.

Tiket pasaran kelab tersebut masih mendapat sambutan daripada segelintir peminat biarpun terpaksa membayar harga yang lebih mahal berbanding harga asal.

Menurut seorang pembeli yang enggan dikenali, dia terpaksa membeli tiket pasaran gelap walaupun mahal, memandangkan tiket habis dijual sejak semalam.

"Sebaik dapat tahu tiket habis, saya pergi pejabat DUN sebab ada yang memberitahu tiket ada dijual di sana, tapi saya masih belum dapat lagi.

"Sebab itu saya terus datang sini (pejabat PBSNT) kalau-kalau masih ada tiket yang belum dibeli," katanya.

Seorang kakitangan PBSNT ketika ditemui turut mengesahkan perkara itu, namun enggan mengulas lanjut.

Utusan Malaysia

No comments:

Post a Comment