Wednesday, October 26, 2011

Ultras Tranung dan Ultras Nogori Mahu Boikot Perlawanan Akhir?

Penyokong Negeri Sembilan bantah kenaikan harga tiket perlawanan akhir Piala Malaysia, Sabtu ini.

Mahal gila, cekik darah dan melampau!

Banyak pihak mengkritik keputusan menaikkan harga tiket final Piala Malaysia kepada RM50 berbanding RM30 sebelum ini.

Kementerian Belia Dan Sukan (KBS) sudah meminta Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mengkaji semula harga tiket RM50 yang ditetapkan bagi semua tempat duduk untuk perlawanan akhir Piala Malaysia Terengganu-Negeri Sembilan Sabtu ini.

Sejauh ini tiada jawapan balas daripada FAM.

Menteri berkenaan, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata semalam, beliau telah menghubungi FAM dan meminta badan induk bola sepak negara itu segera mengkaji semula harga tiket itu agar tidak membebankan penonton.

"Saya terkejut serta dukacita apabila mendapat tahu FAM menaikkan harga tiket sehingga 70 peratus dan kenaikan tersebut boleh disifatkan sebagai kenaikan yang mendadak," katanya.

Ultras Tranung (Terengganu) dan Ultras Nogori (Negeri Sembilan) dilaporkan akan mengambil keputusan untuk memboikot perlawanan akhir Piala Malaysia edisi ke-45 kerana harga tiket yang disifatkan cekik darah.

Menurut satu status laman sosial Facebook Ultras Tranung, kenaikan itu sangat membebankan, terutama bagi penyokong yang tidak pernah ketinggalan pergi ke stadium sepanjang musim untuk menyaksikan perlawanan bola sepak.

"Walaupun ada berita mengatakan kerajaan negeri memberi subsidi kepada penyokong Terengganu, namun kami mengambil pendirian tidak sanggup 'makan' duit rakyat Terengganu yang berhak.

"Pendirian Ultras Tranung ialah tidak akan tunduk kepada harga cekik darah yang dikenakan dan akan memboikot sehingga FAM menurunkan harga," katanya.

Sementara itu, seorang jurucakap UN9 (Ultras Negeri Sembilan) yang dikenali sebagai Carlas berkata, mereka akan hadir ke Stadium Shah Alam Sabtu ini bersama 200 ahlinya, namun tidak akan masuk ke dalam stadium.

"Kami akan menyanyi dari luar stadium untuk menyokong skuad Rusa dan menggantung kain rentang membantah kenaikan tiket.

"Pada hari ini, di Stadium Tunku Abdul Rahman Paroi, kami juga membuat tindakan sama apabila pergi ke kaunter jualan tiket namun tidak membeli sebaliknya menggantung kain rentang mengutuk harga tiket yang melampau," katanya.

Ternyata FAM kini berdepan keluhan orang ramai ekoran harga tiket melampau yang dikenakan oleh mereka menjelang perlawanan akhir Piala Malaysia itu mendapat perhatian Persatuan Bolasepak Negeri Sembilan (PBNS) dan Persatuan Bolasepak Negeri Terengganu (PBSNT).

Presiden PBNS, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, secara amnya pihaknya tidak bersetuju dengan kadar harga tiket perlawanan yang ditetapkan FAM.

Malah, beliau berpendapat bahawa harga yang tinggi itu akan membebankan penyokong tegar kedua-dua pasukan.

''Ia adalah keputusan pihak jawatankuasa FAM, namun kita tidak setuju dengan harga yang melonjak dari RM30 kepada RM50 kerana ini amat membebankan peminat dan penyokong untuk perlawanan akhir itu nanti.

''RM50 itu nampak terlalu tinggi tetapi terpulanglah kepada budi bicara FAM untuk menentukannya," katanya ketika diminta mengulas mengenai keputusan FAM menaikkan harga tiket diSeremban semalam.

Mohamad yang juga Menteri Besar tidak menolak kemungkinan bahawa harga tiket yang tinggi itu sedikit sebanyak akan menjejaskan jumlah kehadiran penonton yang akan hadir pada final nanti.

Begitupun, Mohamad tetap menaruh harapan penyokong skuad Hoben Jang Hoben tetap membanjiri Stadium Shah Alam, Sabtu ini.

Katanya, kehadiran penonton mampu menjadi pembakar semangat kepada pemain-pemain mereka untuk membawa pulang kejuaraan berpresjtij itu sekali lagi.

Mohamad juga menjelaskan, hasil perbincangan pihaknya, PBNS telah memutuskan untuk mengehadkan pembelian tiket kepada 10 tiket bagi setiap pembeli dalam usaha mengatasi masalah ulat tiket .

Bagi PBSNT pula, untuk meredakan keluhan serta bebanan penyokong yang menganggap harga tiket final Piala Malaysia agak melampau, kerajaan negeri akan memberi subsidi sebanyak 50 peratus.

Kerajaan negeri telah mengarah PBSNT menempah 30,000 tiket kepada penyokong di seluruh negeri dengan pembayaran terus kepada persatuan tersebut.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said dalam satu kenyataan berkata, beliau mahu ia diagih ke seluruh negeri dengan 500 keping diperuntukkan bagi setiap kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN).

Langkah itu nyata melegakan penyokong yang terbeban kerana terpaksa mengeluarkan belanja lebih untuk pengangkutan dan penginapan, selain makan minum bagi memberi sokongan kepada pasukan mereka.

"PBSNT diminta mengagihkan 500 keping tiket kepada setiap kawasan Dewan Undangan Negeri dan dijual kepada penyokong Terengganu," katanya dalam satu kenyataan.

Presiden PBSNT, Datuk Che Mat Jusoh berkata, tiket itu akan diserah kepada Yang Berhormat (ADUN) dan Pegawai Pembangunan DUN untuk mengagihkan penjualan kepada peminat di DUN masing-masing selepas ini.

"Ini bagi mengelakkan pengagihan dimonopoli pihak tertentu memandangkan harga tiket yang dijual lebih murah daripada harga biasa," katanya ketika ditemui di Kuala Terengganu semalam.

Che Mat berkata, baki bagi pembelian secara individu di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah pula dihadkan kepada 10 keping seorang.

Che Mat bagaimanapun berkata, peminat Terengganu yang mendapatkan tiket itu di Stadium Shah Alam tidak akan mendapat harga subsidi yang ditawarkan.

"Sebelum ni, MB setuju nak beri 20,000 tiket subsidi tapi dia tambah jadi 30,000 keping. Ini menunjukkan beliau betul-betul prihatin walaupun berada di luar negara ketika ini," katanya.


Sumber, Utusan Malaysia, Kosmo!

No comments:

Post a Comment