Sunday, November 20, 2011

2,000 Kaki Pancing Dijangka Serbu Pulau Warisan

Seramai 2,000 kaki pancing dari seluruh negara dijangka berentap merebut hadiah wang tunai keseluruhan RM58,200 pada karnival memancing pantai sempena Monsoon Cup 2011 di persisiran pantai Pulau Warisan, Kuala Terengganu, Sabtu ini.

Pengarah Jabatan Belia Dan Sukan Negeri Terengganu, Rosli Yusoff berkata, segala persiapan sudah dilakukan untuk menerima kumpulan peserta pertandingan itu.

“Persiapan logistik memuaskan dan kami bersedia menerima peserta memancing dengan harapan suasana pertandingan kali ini mesra dan penuh semangat kesukanan,’’ katanya ketika mempengerusikan Mesyuarat Penyelarasan Acara Sampingan Sempena Kejohanan Pelayaran Monsoon Cup 2011 di Kuala Terengganu, baru-baru ini.

Mesyuarat itu dihadiri 15 agensi kerajaan negeri dan Persekutuan bagi membincangkan aktiviti sampingan sepanjang Monsoon Cup 2011.

Berita Harian sebagai pengendali acara berprestij itu diwakili Eksekutif Kanan Projek Khasnya, Zainuddin Ismail.

Turut hadir pada mesyuarat itu ialah Kelab Belia Warisan Duyong; Persatuan Layar Terengganu; Persatuan Sukan Air Terengganu (Formula Future); Persatuan Mendayung Terengganu; Persatuan Belia 4B Kawasan Kuala Terengganu dan Persatuan Tomoi Negeri Terengganu.

Rosli berkata, pihaknya bersama Berita Harian berharap acara kali ini lebih meriah dan berlangsung ceria berbanding acara sama sebelum ini.

“Objektif itu bukan halangan besar. Ini kerana saya yakin setiap peserta matang dan memahami bahawa setiap cabaran perlu diharungi demi menggapai impian membawa pulang hadiah wang tunai yang disediakan penganjur serta dinobatkan sebagai,’’ katanya.

Karnival Memancing Monsoon Cup 2011 turut ditaja Universal Fitness & Lesisure (UFL) - Coleman Sdn Bhd; TCE Tackles Sdn Bhd dan Nestle Product Sdn Bhd.

Pertanyaan lanjut hubungi Unit Joran 03-22822323 sambungan 4240/4241/4242.

No comments:

Post a Comment