Thursday, November 24, 2011

Amaran Hujan Lebat Peringkat Merah Dikeluarkan Di Terengganu, Pahang

Beberapa penduduk terpaksa menumpang lori Jabatan Kerja Raya untuk keluar selepas jalan hubungan terputus akibat banjir di Kampung Bukit Pepari, Terengganu.

Amaran hujan lebat di beberapa tempat di Terengganu dan Pahang ditingkatkan dari peringkat jingga ke peringkat merah di mana hujan sekejap-sekejap kadangkala lebat dijangka berterusan sehingga Jumaat dan boleh menyebabkan banjir di kawasan rendah.

Jabatan Meteorologi dalam kenyataan berkata antara kawasan yang terlibat di Terengganu ialah Besut, Setiu, Kuala Terengganu, Marang, Hulu Terengganu, Dungun dan Kemaman serta Kuantan, Pekan, Jerantut, Maran, Bera dan Rompin di Pahang.

Amaran hujan lebat peringkat jingga pula dikeluarkan di beberapa tempat di Kelantan di mana hujan sekejap-sekejap kadangkala lebat dijangka berterusan sehingga Jumaat dan akan menyebabkan banjir di kawasan rendah.

Antara tempat yang terlibat ialah Tumpat, Pasir Mas, Kota Bharu, Bachok, Pasir Puteh, Machang, Tanah Merah, Kuala Krai, Jeli dan Gua Musang.

Amaran peringkat kuning juga dikeluarkan di Kedah dan Perlis di mana hujan sekejap-kejap kadangkala lebat dijangka berterusan sehingga Jumaat dan boleh menyebabkan banjir di kawasan rendah.

Kawasan terlibat ialah Padang Besar, Kangar dan Arau di Perlis manakala di Kedah ialah daerah Kubang Pasu, Padang Terap, Kota Setar, Pokok Sena, Pendang dan Langkawi.

Selain itu, amaran angin kencang dan laut bergelora kategori kedua dengan angin kencang Timur Laut berkelajuan 50-60 km sejam (kmsj) dan ombak setinggi 4.5 meter diramal berterusan sehingga Selasa depan di perairan Kelantan, Terengganu, Samui (Kelantan dan Terengganu), Condore dan Reef North (sekitar kawasan perairan Laut China Selatan) dan Pulau Layang-layang.

Amaran sama kategori pertama dengan kelajuan angin kencang Timur Laut 40-50 kmsj dan ombak sehingga 3.5 meter juga dijangka berterusan sehingga Selasa di kawasan perairan Pulau Langkawi, Perlis, Utara Kedah, Pahang dan Johor Timur.

Tempat lain yang terlibat ialah perairan Sarawak, Wilayah Persekutuan Labuan, Sabah (Pedalamaan, Pantai Barat dan Kudat), Phuket, Tioman, Bunguran (antara Semenanjung dan Kuching), Reef South (sepanjang perairan Sarawak) dan Palawan (utara Sabah).

Jabatan Meterologi Malaysia turut memaklumkan bahawa kenaikan paras air laut dijangka berlaku di kawasan Pantai Timur Semenanjung sehingga Khamis.

Keadaan angin kencang dan laut bergelora itu adalah berbahaya kepada semua aktiviti pantai dan bot kecil.

Sementara itu, keadaan banjir di Terengganu tidak banyak berubah petang semalam berbanding pada sebalah pagi.

Penolong Setiausaha Keselamatan (Penerangan) Majlis Keselamatan Negeri Ahmad Redza Arshad berkata jumlah mangsa terkini ialah 1,406 orang berbanding 1,439 orang pagi Rabu.

"Seramai 33 orang mangsa di daerah Hulu Terengganu telah dibenarkan pulang ke rumah masing-masing petang ini setelah air hujan yang melimpah surut di kawasan berkenaan," katanya.

Beliau berkata penduduk yang tinggal di pusat pemindahan ialah Besut 560 orang, Setiu 671 dan Hulu Terengganu 175 berbanding 208 orang pagi tadi.

Katanya dalam masa yang sama juga jumlah pusat pemindahan berkurangan kepada 18 petang ini berbanding 21 pagi semalam.

Jurucakap Jabatan Pengairan dan Saliran negeri (JPS) berkata paras air di kebanyakan sungai utama di negeri ini sedang naik berikutan hujan lebat sejak malam Selasa.

Beliau berkata di Besut, di Kampung La paras air terus naik dan kini melebihi tahap bahaya 19.2 meter pada bacaan pukul 1 petang ini.

Begitu juga Sungai Nerus di Setiu sehingga kini paras air di tiga tempat melebihi paras bahaya petang ini berbading dua tempat pada sebelah pagi.

Katanya di Jambatan Permaisuri, air berada di paras 9.14 meter berbanding tahap bahaya 8.8 meter, di Kampung Langkap 22.95 meter (bahaya 22.5 meter) dan Kampung Bukit 13.7 meter (bahaya 12 meter).

No comments:

Post a Comment