Friday, November 18, 2011

Anak Petani, Pekerja Kilang Dan Pembantu Kantin Antara Pelajar Cemerlang UPSR

Pengarah Pelajaran Negeri, Razali Daud menganggap pencapaian UPSR Terengganu cukup membanggakan.

Anak petani, pembantu kantin dan pekerja kilang antara tujuh pelajar yang berjaya memperoleh keputusan 5A dalam peperiksaan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) di Sekolah Kebangsaan Dusun di Hulu Terengganu.

Biarpun terpaksa belajar dalam keadaan serba kekurangan, namun murid di sekolah luar bandar ini tetap membuktikan mereka mampu bersaing dengan pelajar lain sehingga membantu sekolah itu muncul sekolah terbaik UPSR di Terengganu.

Tinjauan Bernama mendapati sekolah itu mempunyai 65 murid di Tahun Satu hingga Enam dan sebahagian besar daripada mereka belajar di bangunan kayu.

Guru Besar Sekolah itu Noraini Lebai Abdul berkata 15 calon yang menduduki peperiksaan itu semuanya lulus, dan pencapaian cemerlang yang dicatat adalah hasil kerja keras guru hingga mampu memperoleh 1.23 Gred Purata Sekolah (GPS).

"Kita sasarkan lima murid mendapat 5A, namun sasaran itu melebihi jangkaan apabila tujuh murid mendapat keputusan itu dan lulus 100 peratus dalam semua mata pelajaran," katanya ketika ditemui di sekolah berkenaan.

Seorang pelajar cemerlang, Nor Shazlin Kamalrudin berkata beliau terharu dan tidak menyangka mampu mencatat keputusan seperti itu.

Anak seorang pekerja kilang ini, yang bercita-cita menjadi seorang pensyarah bagi membalas jasa dan pengorbanan ibunya, berhasrat menyambung pengajian di Sekolah Menengah Sains Sultan Mahmud, Kuala Terengganu.

Anak bongsu daripada tiga beradik ini juga berazam belajar bersungguh-sungguh bagi membalas jasa ibunya yang telah bercerai sejak beliau masih kecil.

"Biarpun bergelar ibu tunggal, ibu tidak pernah putus asa untuk memberikan yang terbaik kepada kami, dan saya tidak mahu lagi tengok ibu bersengkang mata mencari wang," katanya.

Sementara itu, Terengganu terus menunjukkan prestasi cemerlang dalam UPSR apabila 3,548 daripada 22,801 calon yang menduduki peperiksaan itu memperoleh keputusan 5A.

No comments:

Post a Comment