Monday, November 21, 2011

Hepatitis A - Jabatan Kesihatan Diminta Beri Penerangan

Bagi memastikan virus Hepatitis A tidak berulang, Jabatan Kesihatan dicadangkan untuk memberi penerangan mengenai wabak itu kepada masyarakat setempat.

Selain itu penduduk yang terpilih dari kawasan wabak wajar diminta menyampaikan maklumat kepada penduduk kampung yang lain mengenai penyakit itu.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Perpaduan dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Dr. A. Rahman Mokhtar berkata semalam,tujuannya adalah mengelak virus berkenaan merebak selepas jumlah pesakit yang diserang virus itu dilaporkan meningkat.

Menurut laporan akhbar, mangsa meningkat kepada 57 orang berbanding hanya sepuluh orang sejak kes tersebut tersebar di dua buah kampung di sini lebih seminggu lalu.

Kes terbaharu melibatkan seorang kanak-kanak berusia lapan tahun dari Kampung Basung di Hulu terengganu, semalam.

Kesemua pesakit kini dirawat di Hospital Hulu Terengganu dengan keadaan mereka dilaporkan stabil.

"Jabatan Kesihatan juga turut menyediakan klinik bergerak di tiga kampung yang terjejas dan kita yakin semua yang terkena jangkitan tersebut sudah menerima rawatan," katanya semalam.

Beliau mengulas susulan penyebaran virus Hepatitis A di Kampung Pasir Dula, Basung dan Padang Setebu, Hulu Terengganu sejak beberapa hari sebelum Aidiladha lalu sehingga menyebabkan Kampung Basung dan Pasir Dula diwartakan sebagai kawasan wabak.

Wabak berkenaan dikatakan dibawa beberapa penduduk Orang Asli yang tinggal di Sungai Berua kira-kira 30 kilometer dari kampung berkenaan yang mendirikan penempatan berhampiran kawasan tadahan air yang disalurkan kepada penduduk tiga buah kampung berkenaan.

No comments:

Post a Comment