Thursday, November 17, 2011

Bantuan RM100 Kepada Setiap Pelajar Diberikan Sebelum Sekolah Dibuka

Guru Besar Sekolah Kebangsaan Tengku Bariah, Azma Senun bersama pelajar-pelajar menunjukkan replika cek dan wang bantuan persekolahan RM100 di Kuala Terengganu semalam.

Bantuan persekolahan sebanyak RM100 kepada setiap pelajar di negeri ini oleh kerajaan Terengganu akan dilakukan selewat-lewatnya seminggu sebelum sekolah dibuka.

Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Said berkata mengikut stastik terdapat kira-kira 119,000 pelajar di negeri ini layak mendapat bantuan tersebut dengan maksimum dua pelajar bagi satu keluarga.

Bercakap kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan Exco di Kuala Terengganu semalam, beliau berkata kerajaan negeri menyediakan peruntukan RM12 juta untuk bantuan tersebut yang diberikan dalam bentuk wang tunai bertujuan membeli pakaian sekolah pelajar.

Sebelum ini bantuan diberikan kepada setiap pelajar dalam bentuk pakaian sekolah.

Ahmad Said berkata ibu bapa berpendapatan RM1,500 ke bawah, layak menerima sumbangan tersebut.

“Kerajaan negeri menetapkan setiap keluarga akan mendapat bantuan maksimum hanya untuk dua orang atau RM200 bagi setiap keluarga.

“Agihan seumpama ini sudah lama di laksanakan di Terengganu dan mengharapkan mereka menggunakan sumbangan itu sebaik mungkin dengan membeli pakaian dan peralatan sekolah,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Exco di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, semalam.

Menteri Besar tidak mahu lagi melihat ada pelajar yang hadir ke sekolah dalam keadaan kurang selesa, kasut koyak dan sebagainya.

“Setiap ibu bapa mesti prihatin terhadap aspek itu kerana selain memperoleh bantuan daripada kerajaan negeri, mereka turut menerima bantuan kerajaan pusat iaitu RM100 bagi setiap anak yang masih bersekolah.

“Kita akan mengagihkan sumbangan itu melalui majlis penyerahan yang akan diadakan di lokasi yang bakal ditentukan kemudian,” katanya.

No comments:

Post a Comment