Saturday, November 12, 2011

Berbasikal Wajar Jadi Trend Remaja

Rozi Mamat (tiga dari kanan) mengetuai 600 peserta Karnival Kayuhan Rapat 1Malaysia di Dataran Batu Buruk, kelmarin.

Kerajaan negeri yakin kegiatan berbasikal dalam kalangan remaja menjadi trend baharu dan formula paling berkesan bagi menangani gejala lumba haram dan mat rempit di negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan negeri, Rozi Mamat berkata, pada masa yang sama, kegiatan itu dapat membantu melahirkan generasi sihat selain mengalih perhatian mereka daripada terbabit dalam aktiviti tidak berfaedah.

Beliau seterusnya menyokong minat serta kecenderungan golongan remaja di negeri ini yang melibatkan diri dalam aktiviti berbasikal walaupun sanggup mengeluarkan belanja besar.

"Ada peserta sanggup menghabiskan ribuan ringgit semata-mata untuk membeli sebuah basikal, ini satu pendekatan bijak untuk mengisi masa lapang dengan aktiviti lebih berfaedah," katanya.

Beliau berucap merasmikan Karnival Kayuhan Rapat 1Malaysia di Dataran Batu Buruk di Kuala Terengganu, kelmarin.

Karnival anjuran Jabatan Hal Ehwal Khas Negeri (Jasa) Terengganu dan Kelab Belia Generasi Prihatin itu disertai kira-kira 600 peserta melibatkan kayuhan sejauh 20 kilometer dengan mengelilingi bandar raya itu.

Menurut Rozi, aktiviti kayuhan basikal secara beramai-ramai adalah cara terbaik bagi mengurangkan kegiatan perlumbaan haram yang sering dikaitkan dengan golongan remaja di negeri ini pada setiap hujung minggu.

Utusan Malaysia

No comments:

Post a Comment