Wednesday, November 30, 2011

Empangan Kecil pecah - 100 Hektar Sawah Dibimbangi Terjejas

Penduduk kampung dan pegawai JPS melihat empangan kecil yang digunakan penduduk untuk mengairi sawah pecah akibat hujan lebat Khamis lalu ketika kawasan lain dinaiki air banjir di Kampung Durian Telur, Besut, Terengganu, kelmarin.

Kejadian sebuah empangan kecil yang digunakan penduduk untuk mengairi sawah padi di Kampung Durian Telur dekat sini yang pecah Khamis lalu membimbangkan kira-kira 60 petani di kawasan itu.

Ia ekoran empangan kecil atau ban takungan air tersebut telah rosak dan menyebabkan paras air takungan berkurangan dan tidak dapat disalurkan ke 100 hektar sawah penduduk.

Kejadian itu boleh menyebabkan kerugian terhadap tanaman mereka yang ketika ini kebanyakannya baru selesai dibajak.

Selain itu, kejadian tersebut juga telah menyebabkan kira-kira 10 hektar sawah musnah kerana pokok dan batu hanyut ke dalam petak sawah ketika insiden itu berlaku sebelum ini di samping turut merosakkan jalan raya kampung tersebut sepanjang kira-kira 300 meter.

Pengerusi Kelompok Padi Kampung Durian Telur, Hasbullah Yusof berkata, dia berharap pihak berkaitan dapat membantu menyelesaikan masalah yang dialami oleh petani berkenaan berikutan mereka terpaksa menanggung kerugian lebih RM3,000 untuk sepetak sawah yang telah dibajak dan dibenih.

Katanya, jika masalah itu tidak diatasi dengan segera, dia bimbang petani di kawasan itu akan terus menanggung kerugian yang lebih besar.

"Banyak di antara petak sawah telah dibajak dan dibenih menyebabkan para petani terpaksa menanggung kerugian yang besar dan jika tidak dilakukan sesuatu kita bimbang akan mengakibatkan seluruh kawasan tanaman ini terjejas," katanya ketika ditemui kelmarin.

Jelasnya, beliau juga berharap pihak berwajib dapat membuat pembaikan alur sungai di kawasan itu agar air tidak melimpah masuk ke dalam tanaman.

Tambahnya, masalah tersebut telah berlarutan sejak sekian lama dan sehingga kini tiada tindakan yang diambil.

"Masalah alur sungai yang melalui petak sawah ini sudah lama berlaku dan ia menyebabkan kawasan tersebut tidak dapat digunakan untuk menanam padi.

"Jadi saya harap kerajaan dapat lakukan sesuatu untuk membantu atau lebih senang jika kerajaan ambil alih tanah yang terlibat dan bina alur yang lebih baik," ujarnya.

Sementara itu, wakil Jabatan Pengairan dan Saliran Besut memberitahu, pihaknya telah memantau kawasan yang dinamakan Skim Pengairan Telabak itu dan akan membuat kerja baik pulih dalam masa terdekat ini.

"Kita menandakan kes ini sebagai kes kecemasan dan akan cuba memulihkan keadaan sawah ini seperti sedia ada dalam tempoh sebulan bermula pertengahan bulan depan," katanya.

Utusan Malaysia

No comments:

Post a Comment