Tuesday, November 8, 2011

Isu Kekalahan Terengganu - Penyokong Mahu Terus Desak Che Mat Undur

Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu, Datuk Che Mat Jusoh sudah menyatakan sedia bersemuka dan memberi penjelasan kepada mana-mana pihak yang masih tidak berpuas hati dengan kepimpinan beliau.

Katanya, mereka boleh melantik seorang wakil dan datang berjumpa pihak persatuan untuk mengetahui perkara sebenar mengikut prosedur yang betul.

"Saya bersedia memberi penjelasan sebagaimana yang mereka mahukan, kita bukan buang Ifran Bakti tetapi beliau membuat keputusan untuk mengundur diri, kita tidak boleh paksa, bagaimanapun kita perlu akur kepada keputusan yang dibuatnya," katanya.

Isu kontroversi pengunduran ketua jurulatih Terengganu, Irfan Bakti Abu Salim menjadi antara punca kumpulan peminat Terengganu tidak berpuas hati.

Malah isu yang disebut pada demonstrasi itu oleh jurucakap kumpulan itu, Kairul Amri Salleh Fikri Al-Taranljani, 23, ialah kegagalan menjuarai Piala Malaysia menjadi punca Irfan Bakti berundur berikutan kegagalan Che Mat dan pengurusan pasukan menjaga kebajikan pemain.

“Adakah patut kesebelasan utama pemain yang diturunkan malam itu ke Kuala Lumpur menaiki kapal terbang, manakala pemain simpanan diarahkan ke Stadium Shah Alam menaiki kereta sendiri dan Che Mat memberi alasan pemain berkenaan terpaksa diasingkan.

“Pemain juga harus diberi tiket secara percuma untuk ahli keluarga mereka menyaksikan perlawanan akhir, tetapi mereka hanya menyaksikan perlawanan melalui kaca televisyen dan ada yang terpaksa membeli tiket sendiri di pintu masuk Stadium Shah Alam,” dakwanya ketika ditemui wartawan selepas mengetuai demonstrasi berkenaan.

Che Mat berkata, jika pihak pengurusan tidak betul, mengapa pelbagai kejayaan berjaya diraih sehingga berjaya membawa pulang Piala FA, malah soal bayaran gaji dan bonus dibuat tepat pada masanya, katanya.

Beliau berkata demikian di Kuala Terengganu Jumaat lalu bagi memberi maklum balas berhubung penganjuran demontrasi aman yang dilakukan peminat bola sepak Terengganu yang mendesaknya meletakkan jawatan sebagai presiden persatuan.

Che Mat ketika diminta mengulas berhubung dakwaan yang mengatakan pihak PBSNT tidak memberi ganjaran RM10,000 kepada pemain setelah memenangi Piala FA pada Jun lalu, beliau berkata, wang ganjaran itu diserahkan terus kepada pemain menerusi cek yang dikeluarkan oleh kerajaan negeri.

Menurutnya, wang ganjaran itu bukan diagihkan oleh pihak persatuan sebaliknya diuruskan kerajaan negeri, malah pihak PBSNT turut memberikan imbuhan kepada pemain selain ganjaran yang dijanjikan kerajaan negeri.

"Namun tidak semua pemain mendapat ganjaran itu sepenuhnya, takkan mereka yang duduk dibangku simpanan pun mendapat jumlah yang sama dan ini tidak adil kepada mereka yang bermain sepanjang perlawanan," katanya.

Justeru itu, beliau menyarankan mereka yang tidak berpuas hati datang berjumpa dan bincang apa yang ingin diketahui dengan cara yang betul bukannya dengan menganjurkan demontrasi yang secara tidak langsung mampu menjatuhkan imej sukan sukan bola sepak Terengganu.

Jumaat lalu, lebih 1,000 penyokong tegar skuad Peteh itu mengadakan demonstrasi mendesak Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT), Datuk Che Mat Jusoh meletak jawatan.

Mereka berhimpun secara aman di perkarangan Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu bermula jam 4.30 petang sebelum berarak ke Kediaman Seri Iman menyerahkan memorandum mendesak Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said campur tangan dan memecat pengurus pasukan berkenaan.

Kumpulan itu membawa sepanduk antaranya tertulis, “Menteri Besar, kami sayangkan pasukan bola sepak Terengganu, tolonglah kami buat perubahan”.

“Kerana mung Che Mat Jusoh bola sepak Terengganu bermasalah dari dulu hingga lening,” “Tiba doh masanya PBSNT berubah, tahun baru pimpinan baru dan berwajah baru.”

Bagaimanapun, usaha kumpulan penyokong itu gagal kerana Ahmad dan pegawainya berada di Kemaman.

Mereka mengugut untuk terus mengadakan demostrasi mendesak Che Mat melepaskan jawatan dipegang sejak 16 tahun lalu kerana kegagalan skuad Penyu menjuarai Piala Malaysia, 29 Oktober lalu.

No comments:

Post a Comment