Satu kumpulan pemimpin dalam Persatuan Kelab Belia Malaysia (MAYC) menyambut baik keputusan Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek yang menerima rayuan dan mengesahkan Mesyuarat Agung Tahunan persatuan itu pada 26 September 2010.
Presiden perwakilan MAYC yang bermesyuarat pada 31 Julai tahun lepas iaitu Akhramsyah Sanusi berkata keputusan itu sememangnya merintis jalan ke arah penyelesaian kemelut yang melanda persatuan berkenaan.
"Menteri memberi kelulusan Mesyuarat Agung pada 26 Sept 2010 walaupun mesyuarat agung itu dibantah oleh sebahagian besar warga MAYC kerana perwakilan yang kurang sempurna.
"Bagaimanapun, Ahmad Shabery juga memberi syarat dengan semangat baru iaitu jawatankuasa MAYC 26 Sept 2010 hendaklah mengadakan Mesyuarat Agung Pemilihan menjelang Mac 2012," katanya.
Beliau berkata demikian selepas perbincangan mengenai surat Ahmad Shabery kepada Presiden MAYC yang bermesyuarat pada 26 September 2010 iaitu Mustaffa Mat Arof.
Akhramsyah berkata surat itu menyebut kegagalan Mesyuarat Agung pada Mac 2012 akan menyebabkan pendaftaran MAYC sebagai persatuan boleh dibatalkan.
"Jadi semua warga MAYC tahu bahawa memang kita menyayangi MAYC dan tidak mahu MAYC terbatal atas apa-apa sebab sekalipun.
"Oleh itu, kami sebagai pemimpin MAYC dari tujuh negeri iaitu Terengganu, Negeri Sembilan, Johor, Wilayah Persekutuan, Perak, Kedah dan Pulau Pinang bertekad untuk menerima keputusan Ahmad Shabery dengan hati terbuka dan menyokong penuh pelan perdamaian yang diputuskan itu," katanya.
Bagaimanapun, beliau berkata sehingga kini, pihaknya belum menerima apa-apa berita daripada Mustaffa berhubung perkara tersebut.
Pergolakan MAYC bermula apabila dua pemimpin dipilih dalam dua mesyuarat agung yang berbeza tahun lepas.
MAYC bergolak kembali pada bulan lepas, apabila Setiausaha Agung yang dipilih pada Mesyuarat Agung 31 Julai tahun lepas iaitu Ahmad Ansor Muhd Rivai Batubara, cuba mengambil alih pentadbiran persatuan itu tetapi dihalang oleh Mustaffa, presiden yang dipilih pada Mesyuarat Agung 26 September.
Mesyuarat Agung 31 Julai 2010 memilih Akhramsyah sebagai presiden.
No comments:
Post a Comment