Tuesday, November 8, 2011

Isu Pembuangan Pekerja TADC - Minta MB Campur Tangan

Sebahagian daripada 22 pekerja TADC mengadakan demonstrasi selepas dibuang kerja di Gong Badak, Kuala Terengganu, pada 6 November lalu.

Seramai 22 pekerja Terengganu Agrotech Development Corporation Sdn. Bhd (TADC) memohon campur tangan Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said bagi menyelesaikan isu pemberhentian kerja yang disifatkan tidak adil.

Wakil pekerja terbabit, Mohd. Razak Salih berkata, campur tangan Menteri Besar terpaksa dibuat setelah pihaknya gagal mendapatkan penjelasan daripada pengurusan syarikat di bawah Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu (PMINT) itu.

"Kami hanya dimaklumkan mengenai perkara itu tiga hari selepas satu mesyuarat yang dipengerusikan Pengurus Besar pada 30 Oktober lalu dengan alasan syarikat mengalami kerugian dan perlu menstrukturkan semula organisasi.

"Namun, perkara yang menjadi persoalan ialah, mengapa surat pemberitahuan dihantar pada 3 November sedangkan tarikh surat itu ialah pada 1 November dan notis itu pula berkuat kuasa pada 8 November?

"Mereka (syarikat) seolah-olah tidak memberi peluang langsung kepada kami untuk mendapatkan penjelasan kerana sebelum notis pemberhentian itu ialah cuti Hari Raya Aidiladha," katanya kepada pemberita selepas mengetuai perhimpunan aman di Kuala Terengganu, Ahad lalu (6 November 2011).

Para pekerja yang menerima notis pemberhentian kerja itu terdiri daripada pekerja tetap dan kontrak termasuk berjawatan pengurus dan eksekutif syarikat yang telah berkhidmat antara satu hingga lima tahun.

Dalam pada itu, Mohd. Razak berkata, imbuhan yang diberikan kepada mereka ekoran pemberhentian itu dinilai dengan kadar yang berbeza.

Katanya, ada di antara mereka menerima imbuhan serendah RM22.20 sedangkan pekerja tersebut telah berkhidmat hampir setahun bersama TADC.

"Ada juga di kalangan kami (yang diberhentikan kerja) terdiri daripada bakal ibu yang sarat mengandung tujuh bulan, ibu yang masih dalam pantang selepas melahirkan anak dan pasangan suami isteri (salah seorang diberhentikan).

"Bagaimana nasib mereka lepas ni? Ini menunjukkan pihak pengurusan langsung tidak peka dan bertindak membuang pekerja secara rawak," katanya.

Menurut beliau, kriteria pekerja yang dibuang juga tidak diberitahu sedangkan ada di antara mereka yang telah bekerja sejak awal penubuhan TADC iaitu pada tahun 2006.

"Saya dengar akan ada lagi pekerja yang akan dibuang daripada keseluruhan 70 pekerja TADC untuk fasa kedua nanti," katanya.

Utusan Malaysia

No comments:

Post a Comment