Wednesday, November 16, 2011

Kedai Jualan Pakaian Hentian Bas MPKT Tiba-Tiba Lengang...

Tingkat satu Hentian Bas Majlis Daerah Kuala Terengganu (MBKT) yang menempatkan kedai jualan pakaian tiba-tiba lengang apabila 20 premis ditutup awal semalam.

Ia dipercayai ekoran kebocoran maklumat serbuan oleh pihak Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (PPDNKK) negeri selepas mendapat aduan aktiviti menjual pakaian berjenama Adidas tiruan.

Timbalan Pengarahnya, Ab. Ghani Harun berkata, serbuan itu dilakukan ekoran aduan daripada pihak Adidas tentang penjualan pakaian tiruan jenama itu secara berleluasa di lima buah premis perniagaan di hentian itu.

Namun begitu, katanya, 15 premis menjual pakaian berjenama tiruan lain turut menutup perniagaan mereka kerana bimbang diserbu.

“Aduan kita terima daripada pihak Adidas yang menjalankan pemantauan sebelum ini dan lengkap dengan nama kedai dan alamat.

“Ia membolehkan kita terus menyerbu premis yang disasarkan namun mereka menutup pula kedai hari ini (semalam),” katanya ketika ditemui.

Bagaimanapun katanya, kelima-lima premis berkenaan tetap diserbu dan pihaknya melaksanakan prosedur standard operasi (SOP) mengikut peraturan yang telah ditetapkan bagi membolehkan premis berkenaan dipecah masuk.

No comments:

Post a Comment