Tuesday, November 29, 2011

Kerajaan Negeri Minta Jabatan Berkaitan Sedia Laporan Banjir

Kerajaan negeri Terengganu akan meminta laporan daripada jabatan-jabatan berkaitan mengenai kerugian yang dialami oleh penternak dan petani akibat banjir di negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani negeri Asha'ari Idris berkata ia bertujuan untuk membantu penternak dan petani terlibat.

"Laporan itu perlu dihantar segera sebaik bencana banjir berakhir untuk memudahkan kerajaan membantu mereka yang terlibat," katanya ketika diminta mengulas mengenai kerosakan padi di dua buah kampung di Setiu.

Akhbar Jumaat melaporkan pengusaha tanaman padi di dua buah kampung di daerah ini mengalami kerugian hampir RM500,000 apabila padi yang sepatutnya boleh dituai rosak akibat ditenggelami air dalam bencana banjir yang bermula beberapa hari lalu.

Katanya nasib malang itu dialami oleh 60 orang pesawah di Kampung Tasek dan Kampung Buluh yang melibatkan kawasan sawah seluas kira-kira 200 hektar.

Asha'ari yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri kawasan Langkap berkata segala kerugian dan juga kerosakan bolehlah dilaporkan kepada jabatan-jabatan berkenaan.

Katanya beliau yakin bukan sahaja tanaman padi yang mengalami kerosakan tetapi juga tanaman-tanaman lain dan Setiu adalah antara daerah yang paling teruk dilanda banjir kali ini.

Dalam perkembangan berkaitan, penternak-penternak lembu dan kambing dinasihatkan mencari kawasan selamat untuk menempatkan ternakan mereka.

Menurut Asha'ari pengalaman lepas, banyak ternakan menjadi mangsa banjir menyebabkan pemilik mengalami kerugian besar.

No comments:

Post a Comment