Wednesday, November 16, 2011

Langkah Berjimat Dipercayai Punca Dijangkiti Hepatitis A?

Langkah berjimat yang diamalkan kira-kira 800 penduduk di tiga buah kampung yang dilanda wabak Hepatitis A di daerah ini, dipercayai menjadi punca virus itu menjangkiti mereka.

Ini berikutan penduduk di Kampung Basung, Pasir Dula dan Padang Setebu memilih untuk menggunakan air tadahan dari Sungai Kecur di kawasan hutan di Kampung Basung dekat sini sebagai sumber air mereka sejak tahun 1980.

Difahamkan penduduk hanya perlu membayar RM24 setahun untuk kerja-kerja penyelenggaraan saliran dan kawasan tadahan air berkenaan yang dikendalikan Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung (JKKK) tiga kampung tersebut berbanding dengan menggunakan bekalan air dari Syarikat Air Terengganu (Satu) dengan kos RM30 sebulan.

Pengerusi JKKK Basung, Mamat Mat Amin berkata, inisiatif yang dibuat oleh penduduk kampung itu adalah untuk mengurangkan kos yang ditanggung mereka kerana kebanyakan daripada mereka hanya bekerja sebagai petani.

"Kita terpaksa menggunakan air tadahan bagi mengurangkan kos tapi bagi pemilik warung mereka menggunakan bekalan air bersih dari syarikat Satu,” katanya ketika ditemui pemberita di Hulu Terenganu, semalam.

Tiga kampung di Hulu Terengganu iaitu Kampung Basong, Pasir Dula dan Padang Setebu diisytihar kawasan wabak Hepatitis A apabila 42 orang dimasukkan ke Hospital Hulu Terengganu.

No comments:

Post a Comment