Seramai 17 orang pembantu guru bahasa Inggeris (ETA) Fulbright dari Amerika Syarikat yang berkhidmat di Malaysia merasa gembira kerana dapat menyempurnakan tugas mereka dengan baik.
Walaupun hanya berkhidmat selama 10 bulan, mereka bukan sahaja dapat membantu pelajar negara ini menguasai bahasa Inggeris, tetapi pada masa yang sama mereka juga berpeluang mempelajari bahasa dan budaya Malaysia.
Kumpulan ETA tersebut yang merupakan lulusan dari pelbagai universiti di Amerika ditugaskan mengajar di 17 buah sekolah di Terengganu pada tahun ini mulai 13 Jan lalu.
Hari ini mereka diraikan oleh Duta Besar Amerika Syarikat ke Malaysia, Datuk Paul W Jones sebelum berlepas pulang ke negara mereka.
Seorang ETA, Blair Daly, 24, yang fasih berbahasa Melayu melahirkan rasa gembira ketika ditanya mengenai pengalamannya semasa berada di Malaysia.
"Saya gembira kerana saya datang dari bandar tetapi di sini saya berpeluang tinggal di kawasan luar bandar yang lebih selesa, aman dan tenang.
"Ini kali yang ketiga saya duduk di Malaysia, kali pertama saya belajar di Unimas (Universiti Malaysia Sarawak), kedua saya menjadi cikgu sukarela dan peluang kali ini saya dapat mengajar di Terengganu, ia satu peluang yang sangat baik," katanya.
Andrea Williamson, 26, pula berkata beliau dapat banyak mempelajari perbezaan budaya dan persekitaran semasa berada di negara ini.
"Saya sangat teruja berada di kalangan masyarakat yang mesra dan merasa tenang serta dialu-alukan.
"Saya juga dapat belajar bahasa dan budaya yang berbeza yang tidak saya lalui sebelum ini. Saya sangat bersyukur kerana menjadi sebahagian peserta ETA tahun ini," katanya selepas majlis perpisahan di Yayasan Tun Razak di Kuala Lumpur.
Bagi Elise Russel, 23, menerusi ETA, beliau dapat membina satu lagi hubungan kemanusiaan.
"Saya dapat mengajar dan belajar pada masa yang sama. Mulai sekarang apabila setiap kali saya mendengar nama Asia Tenggara atau Malaysia, saya akan faham dan boleh menjelaskan kepada orang lain mengenainya.
"Saya juga berharap pelajar saya memperolehi kesan kamanusiaan yang sama mengenai Amerika," katanya.
Program ETA dimulakan sejak 2006 dengan dikendalikan oleh Suruhanjaya Fulbright di Suruhanjaya Amerika-Malaysia mengenai Pertukaran Pendidikan (MACEE) dengan sokongan Jabatan Negara Amerika Syarikat.
Sejumlah 90 ETA dilaksanakan setakat ini yang berjaya meningkatkan prestasi bahasa Inggeris di kalangan para pelajar Malaysia.
Mulai tahun depan, Kementerian Pendidikan akan mengambil alih program ini yang akan diperluaskan ke Pahang dan Johor ekoran kejayaan di Terengganu.
Seramai 50 lagi ETA akan terlibat tahun depan dengan Terengganu masih diberi keutamaan.
No comments:
Post a Comment