Thursday, November 10, 2011

Pengusaha Keropok Lekor Tertekan Harga Sagu Melambung

Pengusaha keropok lekor di negeri ini mengeluh kerana terpaksa menanggung kenaikan kos pengeluaran berikutan peningkatan berterusan harga bahan mentah utama termasuk tepung sagu.

Pengusaha keropok lekor, Wan Su Wan Awang, 54, dari Kampung Kuala Ibai di sini, berkata kenaikan ketara sejak awal tahun ini apabila harga paket tepung sagu seberat 28 kilogram (kg) ketika itu RM36, kini sudah naik sehingga RM60.

Katanya, kenaikan hampir 100 peratus itu membebankan pengusaha keropok dan mereka tiada pilihan hingga terpaksa menaikkan harga walaupun dimarah pelanggan.

"Hendak atau tidak, apabila harga tepung sagu terus melambung, harga produk yang dijual terpaksa dinaikkan walaupun kami tahu ia membebankan pengguna," katanya yang bimbang jika sesuatu tidak dilakukan kerajaan, orang ramai mungkin beralih kepada makanan ringan lain selain keropok lekor.

Wan Su berkata, sudah tiba masanya kerajaan mengawal harga tepung sagu, berikutan permintaannya bukan saja daripada kalangan pembuat keropok lekor, malah dalam industri lain seperti mi.

Katanya, sagu yang diguna pakai di negara ini diimport dari Indonesia menyebabkan pembeli tiada upaya untuk menahan daripada harga terus meningkat.

Beliau berkata, setiap kali berlaku kenaikan, bukan membabitkan sekitar 10 sen atau 20 sen, tetapi mencecah RM4 bagi setiap 28 kg sagu dan keadaan ini menggusarkan pengusaha kerana dalam tempoh terdekat mereka difahamkan harga akan naik lagi antara RM3 hingga RM4.

Seorang lagi pengusaha keropok lekor di daerah Marang, Mariam Abdullah, 70, berkata bulan lalu, harga 50 kg tepung sagu adalah RM90 tetapi sudah dinaikkan kepada RM92, malah pembekal sudah memaklumkan harga akan naik lagi RM3 minggu depan.

"Kami tiada pilihan dan terpaksa membelinya untuk meneruskan perniagaan dan akibat kenaikan berterusan pengusaha terpaksa menanggung beban yang kesannya turut ditanggung pengguna," katanya yang menjalankan perniagaan keropok sejak 40 tahun lalu.

Mariam berkata, bagi mengelakkan pelanggan marah, beliau terpaksa mengecilkan saiz supaya sepadan dengan kenaikan harga sagu dan ikan.

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Pengusaha Keropok Losong (PPKL), Abu Bakar Yusof, berkata kenaikan harga ikan dan tepung sagu yang mendadak menyebabkan jualan pengusaha keropok lekor dan keping terjejas kerana pengguna marah dan mendakwa peniaga menaikkan harga sesuka hati.

Katanya, kebergantungan kepada sagu import mengakibatkan harga bahan itu terus melambung sejak tahun lalu.

Berita Harian

No comments:

Post a Comment