Petronas akan menyelamatkan kerugian pengeluaran disebabkabn oleh penutupan lojinya bagi pemeriksaan oleh Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (DOSH) dengan pelancaran perisian 'Online PRBI Interface' semalam.
Presiden Bahagian Teknologi dan Kejuruteraan Petronas, Dr Colin Wong, berkata perisian itu adalah sistem kelulusan dalam talian bagi pengeluaran sijil kelayakan (CF) mesin yang didaftarkan dengan DOSH di loji-lojinya.
"Contohnya loji penapisan minyak kami di Melaka memproses kira-kira 300,000 tong (minyak mentah kurang sulfur dan kondensat) sehari dan kami meraih untung kira-kira US$5 hingga US$10 setong. Pada puratanya kami perlu melalui dua penutupan loji setahun.
"Kami juga ada IPC (Kompleks Petrokimia Bersepadu) di Kerteh (Terengganu) dan Gebeng (Kuantan, Pahang), serta loji-loji di Bintulu (Sarawak) dan Labuan, kalau kita kira seluruh negara, kira-kira lima penutupan kilang setahun," katanya kepada pemberita di Kuala Lumpur semalam.
Beliau berkata demikian selepas menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Petronas dengan DOSH untuk mempermudah pengenalan perisian itu. Wong menandatangani bagi pihak Petronas manakala DOSH diwakili oleh Ketua Pengarahnya, Datuk Dr Johari Basri.
Di bawah terma MOU itu, DOSH akan mendapat akses kepada perisian Pemeriksaan Berasaskan Risiko (PRBI) Petronas dengan menggunakan Online PRBI Interface yang dibangunkan untuk meningkatkan kecekapan proses pengeluaran CF kepada Petronas oleh DOSH.
Wong berkata dengan Online PRBI Interface, DOSH boleh menggunakan dan mengakses data-data berasaskan risiko dari lokasi-lokasi jauh dan meminimumkan pergerakan dan lawatan ke tempat pemeriksaan oleh kakitangan DOSH sebelum proses pemeriksaan.
Beliau berkata loji Gas Asli Cecair (LNG) Petronas di Bintulu bakal menjadi kompleks pertama menggunakan antara muka PRBI itu.
"Petronas membangunkan PRBI kira-kira 10 tahun lalu untuk mewujudkan pangkalan data pusat yang mempermudah proses pemeringkatan risiko kelengkapan melalui platform berasaskan laman web, sekali gus membolehkan data diakses dengan mudah.
"Online PRBI Interface adalah tambahan yang dinanti-nantikan bagi PRBI. Ini juga akan menggalakkan pelaksanaan kawal selia kendiri dalam industri minyak dan gas Malaysia," katanya.
Sementara itu, Johari berkata loji perlu ditutup selama purata tujuh hari bagi setiap pemeriksaan.
"Tujuh hari bererti kerugian pengeluaran yang besar bagi sesebuah syarikat dan pembangunan perisian ini oleh Petronas amat dialu-alukan untuk memastikan syarikat meminimumkan kerugian pengeluaran serta membantu kami menjalankan pemeriksaan dan mengeluarkan CF bagi mesin (yang digunakan).
"Kami memeriksa kira-kira 150,000 mesin dalam setahun bagi CF, dan perisian ini mempercepat kerja kami. Kakitangan DOSH masih perlu pergi ke loji untuk membuat pemeriksaan tetapi tidaklah sekerap dahulu, dan tempoh pemeriksaan juga boleh dikurangkan," katanya.
Beliau juga menggesa syarikat-syarikat perusahaan yang lain di Malaysia membangunkan perisian serupa untuk mengurangkan keperluan menutup kilang dan kerugian pengeluaran.
No comments:
Post a Comment