Tuesday, November 8, 2011

Program Kelas Maya Diperluas Melalui Peruntukan RM3.2j

Kerajaan negeri dijangka memperuntukkan RM3.2 juta tahun depan bagi melaksanakan 32 lagi program kelas maya di sekolah-sekolah terpilih seluruh negeri.

Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi, Sumber Manusia negeri, Ahmad Razif Abdul Rahman berkata, ia melibatkan satu sekolah bagi setiap kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang terbabit.

Katanya, ia lanjutan daripada pelaksanaan program tersebut di 35 buah sekolah rendah dan tiga buah sekolah menengah pada tahun ini.

"Pemilihan sekolah untuk program itu akan dilakukan oleh wakil rakyat bagi kawasan masing-masing mulai Disember ini dan ia dijangka boleh dilaksanakan bermula awal tahun depan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika menghadiri Majlis Korban Perdana DUN Seberang Takir 2011 di pekarangan Masjid Seberang Takir semalam.

Pada majlis tersebut, Ahmad Razif menyerahkan sumbangan sebanyak 14 ekor lembu untuk dijadikan korban sempena sambutan Aidiladha.

Sementara itu, beliau berkata, sebanyak 23,000 lagi e-Book dijangka diagihkan kepada murid-murid tahun empat bermula Januari tahun depan.

"Pada tahun depan juga, kita akan pastikan e-Book ini akan mula diagihkan kepada sekolah-sekolah menengah termasuk semua sekolah Imtiaz di negeri ini," ujar beliau.

Dalam perkembangan lain, Ahmad Razif memberitahu, pihaknya merancang untuk mewujudkan satu program baru yang berteraskan Terengganu sebagai Negeri Anjung Ilmu mulai tahun depan.

Katanya, ia sebagai tempat rujukan untuk pelbagai pihak melihat serta berkongsi resipi kejayaan pendidikan di negeri ini.

"Peruntukan untuk program ini masih dalam perbincangan dan kita akan bawa perkara ini kepada dewan untuk dibentangkan dalam sidang DUN bulan depan sama ada diluluskan atau tidak," katanya.

Utusan Malaysia

No comments:

Post a Comment