Thursday, November 10, 2011

SME Bank Catat Rekod Operasi Yang Amat Baik

SME Bank cawangan Kuala Terengganu merupakan salah satu cawangan bank itu yang mencatatkan rekod operasi yang amat baik setelah mencatatkan pembiayaan 79 projek bernilai RM106.72 juta antara Januari hingga September, 2011 di negeri itu.

Pengarah Urusan SME Bank Datuk Mohd Radzif Mohd Yunus berkata pencapaian itu menggambarkan perkembangan memberangsangkan berbanding negeri-negeri lain, yang meyakinkan pihak bank bahawa usahawan di negeri itu adalah golongan yang berwibawa dan berdaya maju.

Beliau berkata demikian pada majlis menandatangan memorandum persefahaman (MoU) antara SME Bank dengan Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) Terengganu di Kuala Terengganu, semalam.

SME Bank diwakili Pengarah Pengurusan Stakeholder Asbullah Adnan sementara YPU diwakili Ketua Pegawai Eksekutifnya, Azmi Razik.

Majlis itu disaksikan Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Said dan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Usahawan dan Koperasi negeri Datuk Mohamed Awang Tera.

Mohd Radzif berkata majlis hari ini membuka satu lagi lembaran baru apabila SME Bank dan kerajaan negeri Terengganu melalui YPU menjalin kerjasama strategik dalam membangunkan rangkaian kedai T-Shop, T-Craf, T-Kafe dan T-Lodge selain inisiatif lain ke arah pembangunan keusahawanan keseluruhannya di negeri itu.

Sementara itu, Mohamed berkata, bagi tempoh 2010-2013, 100 buah T-Shoppe dirancang untuk dibuka di dalam dan luar negeri Terengganu dengan anggaran kos sebanyak RM11 juta.

Selain itu, dalam tempoh yang sama, kerajaan negeri melalui YPU juga merancang untuk menambah bilangan pembukaan T-Kafe, T-Craft dan T-Lodge yang dijangka memberi pulangan yang berkesan kepada pencapaian objektif pelaksanaan program di bawah T-Brand.

Kos peruntukan dianggarkan RM10 juta, katanya.

No comments:

Post a Comment