Sunday, November 20, 2011

SUKAN SEA: Malaysia Lepasi Sasaran Maksimum 45 Emas Pada Hari Ke Sembilan

Pelumba trek wanita kebangsaan dari Terengganu, Fatehah Mustapa menyumbangkan emas pertama dari acara berbasikal semalam.


Malaysia melepasi sasaran maksimum 45 pingat emas dari edisi Sukan SEA di Indonesia pada hari ke sembilan temasya yang berlangsung sejak 11 Nov lepas sehingga Selasa ini.

Kontinjen negara semalam menambah enam emas, tiga perak dan enam gangsa, menjadikan kutipan pingat keseluruhan 47 emas, 43 perak dan 64 gangsa untuk terus kekal di tangga ke empat carta kutipan pingat keseluruhan.

Dua pingat emas disumbangkan dari acara berbasikal, dua dari renang berirama dan setiap satu dari wushu dan renang laut terbuka.

Tuan rumah terus kekal di persada carta kutipan pingat keseluruhan dengan mengumpul 139 emas, 110 perak dan 102 gangsa, diikuti Thailand (85, 76, 93) dan Vietnam (79, 77, 79).

Malaysia di tangga ke empat dengan mengutip 47 emas, 43 perak dan 64 gangsa, diikuti Singapura (39, 41, 70), Filipina (22, 41, 59), Laos (8, 6, 24), Myanmar (7, 16, 25), Kemboja (3, 10, 14), Brunei (0,2, 7) dan Timor Leste (0,0,3).

Walaupun kontinjen Malaysia ke temasya di Indonesia berjaya melepasi sasaran 45 emas semalam , Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek melontar cabaran agar atlet Malaysia membawa pulang 60 emas dari temasya yang diadakan di Jakarta dan Palembang.

Ahmad Shabery berkata sekiranya hasrat mencapai 60 emas tersebut tercapai, jumlah itu merupakan rekod baru bilangan pungutan pingat Malaysia dalam sejarah di Sukan SEA.
Acara yang menjadi tumpuan pada hari kesembilan ialah kejayaan skuad bola sepak bawah 23 Malaysia, kendalian Ong Kim Swee melangkah ke perlawanan akhir acara bola sepak.

Malaysia sebagai juara bertahan dari edisi di Laos, dua tahun lepas, menumpaskan Myanmar 1-0 pada perlawanan separuh akhir, untuk bertemu tuan rumah, Indonesia pada final, Isnin ini.

Indonesia menundukkan Vietnam 2-0 dalam satu lagi perlawanan separuh akhir.

Selepas dua hari dipertandingkan, skuad wushu negara mula menyumbangkan emas buat kontinjen negara.

Lee Yang menyumbangkan emas pertama dari acara Taijiquan dan Taijijian selepas mengumpul 9.71 mata, meninggalkan pencabarnya Thanh Tung Nguyen untuk pingat perak dengan 9.69 mata. Atlet Filipina meraih gangsa dengan 9.51 mata.

Wushu turut memberikan satu pingat perak dari acara Taijiquan dan Taijian wanita yang diraih oleh Ng Shin Yii dengan mengumpul 19.41 mata, kurang enam mata daripada pemenang emas, Lindswell dari Indonesia.

Pingat gangsa direbut oleh peserta Singapura, Valerie Wee Ling En yang mencatat 19.36 mata.

Pelumba trek wanita kebangsaan yang berpangkalan di Melbourne, Australia, Fatehah Mustapa menyumbangkan emas pertama dari acara berbasikal.

Beliau mencatat masa 36.843 saat dalam acara 500m ujian masa individu sementara pelumba Filipina, Epingger Apryl meraih pingat perak dengan catatan 38.134s dan pelumba Indonesia Muzizah Uyan membawa pulang gangsa dengan 38.338s.

Satu lagi pingat emas dari berbasikal diraih oleh Mohd Harrif Saleh dari acara 10km perlumbaan Scratch.

Dalam acara Renang Laut Terbuka, Heidi Gan menyumbangkan emas keduanya hari ini, melalui acara 10,000 meter.

Heidi mencatat dua jam 20 minit 26.70 saat untuk meraih emas, diikuti pemenang pingat perak dari Vietnam, Thi Ngoc Yen yenga melakukan 2'34:59.61s.

Perenang Indonesia, Yessy V.Yosaputra meraih gangsa dengan catatan 2'38:47.39s.

Dua hari lepas, Heidi meraih emas dari acara 5,000m.

Acara renang laut terbuka turut menyumbangkan satu pingat perak menerusi acara Lelaki 10,000m yang diraih oleh Kevin Yeap Soon Choy, dengan mencatat 2'14:29.80s.

Ba Anh Tu Chan dari Vietnam mendapat emas dengan masa 2'14:32.94s sementara perenang Indonesia, Ricky Angga Wijaya meraih perak dengan catatan 2'14:41.59s.

Atlet renang berirama Malaysia, Katrina Ann Abdul Hadi dan Shareen Hui meraih pingat emas pertama pada hari pertama acara renang berirama.

Katrina Ann dan Shareen mengutip markah tertinggi 76.125 mata iaitu 37.750 mata bagi gerakan dan 38.375 mata bagi kesan keseluruhan.

Pingat perak dimenangi perenang Singapura Stephnie Chen dan Cyrstal Yap dengan mengutip 72.750 mata, manakala perenang tuan rumah, Adela Amanda Nirmala dan Sabihisma Arsyi meraih pingat gangsa dengan 71.000 mata.

Malaysia turut mendapat satu perak dan satu gangsa dari acara angkat berat.

Abdul Azim Najimi, meraih perak dari kategori 105kg ke atas lelaki menerusi gabungan acara 'snatch' dan 'clean&jerk' manakala Firdaus Abdul Razak memperoleh gangsa dari acara 94-105kg lelaki clean&jerk.

Ahad, hari ke-10 temasya, menawarkan 45 pingat emas.

Acara renang seirama menawarkan dua emas, polo air (1), besbal (1), tenpin boling (2), bridge (2), catur (2), berbasikal (2), renang sirip (6), judo (4), kempo (8), tenis (2), lumba bot tradisional (4), bola tampar (2), angkat berat (3) dan wushu (4).

No comments:

Post a Comment