Wednesday, November 16, 2011

Terengganu Yakin Lebih Cemerlang Di Bawah Jurulatih Baru

Terengganu yakin mampu mencapai kejayaan lebih baik dalam perlawanan Liga Malaysia musim depan di bawah bimbingan jurulatih baru Mat Zan Mat Aris.

Pengurusnya Datuk Che Mat Jusoh berkata keyakinan itu berdasarkan pencapaian jurulatih itu membawa Terengganu menjadi juara Piala Malaysia 2001 yang lalu.

"Kita yakin kemampuan jurulatih yang berasal dari Kuala Lumpur ini," katanya kepada pemberita selepas majlis meletak latihan kerja pasukan Terengganu di Sekolah Menengah Sultan Sulaiman, di Kuala Terengganu, semalam yang turut dihadiri Mat Zan Mat Aris.

Che Mat yang juga Yang Dipertua Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) berkata tahun depan tugas Terengganu semakin mencabar iaitu selain menghadapi Liga Malaysia, Terengganu juga bakal menghadapi pertandingan Piala AFC.

Katanya Terengganu buat pertama kali dipilih menyertai kejohanan itu berikutan kejayaan pasukan bola sepak negeri itu menjadi juara Piala FA 2011.

Che Mat berkata PBSNT telah memanggil balik dua pemain kelahiran Terengganu untuk memantapkan pasukan tahun depan iaitu Hariri Shafie yang berada dalam pasukan Sabah dan Shamsul Kamal (T-Team).

Selain itu, beliau berkata Terengganu juga akan mendapatkan khidmat beberapa pemain pasukan Harimau Muda.

Katanya Terengganu masih mengekalkan 18 pemain utama dalam usaha untuk mengekalkan prestasi tahun depan.

Mengenai pemain import pula, Che Mat berkata agen-agen telah memberi jaminan akan membawa pemain import yang berkualiti kepada Terengganu.

Beliau berkata pemain import itu penting bukan sahaja untuk menghadapi Liga Malaysia tetapi juga untuk menghadapi Piala AFC.

Terengganu berjaya mencatat kejayaan cemerlang dalam pertandingan Liga Malaysia musim ini iaitu juara Piala FA dan naib juara Piala Malaysia.

No comments:

Post a Comment