Telekom Malaysia Berhad (TM), syarikat Komunikasi Generasi Baru terkemuka negara dan peneraju jalur lebar, terus menyokong acara bertaraf dunia yang mencerminkan prestasi syarikat ini yang didorong oleh faktor budaya, kebolehan untuk menyesuaikan diri dengan persekitaran yang berubah serta cabaran - iaitu Piala Monsun.
TM semalam mengumumkan peranannya sebagai Pembekal Telekomunikasi Rasmi Piala Monsun 2011, perlumbaan musim akhir Siri Jelajah Dunia Match Racing (WMRT) yang akan diadakan pada 22-27 November 2011 di Ri Yaz Heritage Marina Resort & Spa di Pulau Duyong, Kuala Terengganu, dengan itu memperolehi status sebagai penaja korporat acara paling lama.
Piala Monsun disiarkan secara langsung ke 183 negara di seluruh dunia, mencapai 1.6 bilion potensi isi rumah.
Ini dihasilkan menerusi penajaan TM terhadap Piala Monsun sejak ia mula dianjurkan pada 2005 dengan menyediakan semua kelengkapan pusat media kejohanan termasuk kemudahan telekomunikasi, akses internet, telefon talian tetap, alat komunikasi dan litar sementara termasuk tempahan ruang satelit bagi siaran satelit antarabangsa. Tindakbalas TM yang cepat didorong oleh kakitangan berpengalaman dan mahir yang menyediakan perkhidmatan terbaik bagi kejohanan itu.
"Sebagai pembekal Komunikasi Generasi Baru Malaysia dan peneraju jalur lebar, TM sentiasa memastikan penglibatan penajaan korporat syarikat ini menyokong acara-acara nasional dan antarabangsa yang meletakkan Malaysia di peta dunia.
Menyokong inisiatif sukan seperti ini juga merupakan sebahagian daripada tunggak utama Tanggungjawab Korporat (CR) dalam menyumbang kepada masyarakat dan pembangunan negara. Dengan menyokong acara seperti Piala Monsun 2011, kami berharap dapat mewujudkan kesedaran dan mencetuskan minat di kalangan para belia terhadap sukan sebagai satu gaya hidup sihat.
Selari dengan slogan kami 'Merintis Kemungkinan’, penajaan korporat menyediakan saluran pemasaran yang paling sesuai bagi TM untuk membina hubungan erat dengan pelanggan dan rakan kongsi. Menghubungkan pelanggan dan rakan kongsi kami melalui platform ini sememangnya telah terbukti menjadi satu alat yang tidak ternilai dalam membina jenama yang kukuh dan terkemuka, "kata Shahidah Ridwan, Naib Presiden, Jualan Pengguna, TM.
Menurut Shahidah lagi TM sentiasa terlibat secara aktif dalam penajaan sukan dan jenama ini telah bekerjasama dengan sukan bola sepak melalui peranannya sebagai rakan kongsi rasmi untuk Pasukan Bola Sepak Malaysia dengan menandatangani perjanjian dengan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) baru-baru ini.
Di samping itu, sebagai Rakan Telekomunikasi Rasmi Bersepadu Manchester United di Malaysia, penajaan TM telah memberi manfaat kepada rakyat Malaysia khususnya pelanggan TM dengan menyediakan peluang bagi mereka untuk mengambil bahagian di dalam semua aktiviti berkaitan Manchester United anjuran TM.
Antara sukan lain di bawah usaha tajaan TM termasuk Le Tour de Langkawi, Jelajah 1Malaysia 2011, Sukan Malaysia (Sukma) dan World Muay Thai Challenge. Di samping itu, TM juga telah menyokong acara-acara anugerah sukan seperti Malam Anugerah Sukan Negara untuk mengiktiraf pencapaian dan sumbangan atlet Malaysia.
"Kami amat berbesar hati dan mengalu-alukan TM sebagai pembekal telekomunikasi rasmi yang memainkan peranan penting di dalam menyediakan jaringan kuasa tinggi rangkaian untuk perkhidmatan video, suara dan data sepanjang acara Piala Monsun untuk memastikan semua siaran disiarkan tanpa sebarang masalah. Komitmen berterusan TM terhadap Piala Monsun adalah satu contoh kerjasama yang amat baik di antara acara sukan dan syarikat korporat bertaraf dunia untuk menampilkan teknologi dan perkhidmatan operasi untuk menghasilkan satu acara yang gemilang. "kata Dato 'Peter Gilmour, Penasihat Perlumbaan Piala Monsun.
No comments:
Post a Comment