Thursday, December 29, 2011

14 Pelumba Basikal Terengganu Kayuh Ke Muar Untuk Kejohanan GP Akhir

Seramai 14 pelumba basikal Terengganu Rabu berkayuh ke Muar, Johor, untuk menyertai Kejohanan Grand Prix Akhir yang akan berlangsung pada Ahad ini.

Jurulatih Terengganu Syed Mohd Hussaini Syed Mazlan berkata mereka terdiri daripada pelumba elit Sukma, junior dan pelumba wanita.

"Kita buat pendekatan sebegini supaya pelumba-pelumba tidak merasa letih sekiranya mereka pergi dengan kenderaan," katanya di Kuala Terengganu, semalam.

Pelumba-pelumba itu berkayuh sejauh kira-kira 1,000 kilometer pergi dan balik iaitu dari Kuala Terengganu-Kuantan, Kuantan-Segamat dan Segamat-Muar manakala perjalanan balik pula dari Muar-Mersing, Mersing-Pekan, Pekan-Kuantan, Kuantan-Kemaman, Kemaman-Kuala Terengganu, mengikut laluan Le Tour de Langkawi (LTdL).

Syed Mohd Hussaini berkata turut serta dalam rombongan itu ialah pelumba-pelumba kebangsaan yang sedang membuat persiapan di Kuala Terengganu bagi menghadapi Kejohanan Lumba Basikal Asia (ACC) dan LTdL.

Beliau berkata latihan seumpama itu memberi satu kelebihan kepada pelumba-pelumba yang bakal mewakili Terengganu pada Sukma nanti.

Katanya Terengganu tidak meletakkan harapan terlalu tinggi pada kejohanan itu yang lebih bersifat untuk memberi pendedahan kepada pelumba.

No comments:

Post a Comment