Walaupun kehilangan hampir semua harta benda, Siti Mariam Abdul Fatah masih mampu tersenyum melihat Aqil Qayyim Azman bermain dengan syiling yang ditemui semula setelah rumahnya terbakar di Kampung Lak Lok Dalam, Besut, kelmarin.
Empat sekeluarga hilang tempat tinggal selepas rumah mereka musnah dalam kebakaran di Kampung Lak Lok Dalam di Besut, kelmarin.
Dalam kejadian pukul 7.30 pagi, kesemua mereka turut tinggal sehelai sepinggang apabila gagal menyelamatkan kesemua barang dan dokumen penting milik mereka.
Siti Mariam Abdul Fatah, 55, berkata, ketika kejadian dia tiada di rumah kerana berkunjung ke rumah ibu saudaranya sejak dua hari lalu yang sakit tenat di Bachok, Kelantan.
Katanya, dia bercadang bertolak pulang pagi ini dan menerima panggilan telefon daripada salah seorang anaknya yang tinggal di Kuala Terengganu.
“Apabila sampai pagi ini makcik lihat semuanya sudah hangus tetapi syukur anak-anak dan cucu selamat,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian di sini hari ini.
Anak mangsa, Siti Hasmah, 25, berkata, dia bersama anak saudaranya Aqil Qayyim Azman, 4, tidur dalam salah sebuah bilik manakala dua sepupunya tidur di dua bilik berasingan.
Katanya, dia terjaga apabila terbau hangit dan berfikir mungkin sepupunya sedang memasak di dapur tetapi apabila keluar dari bilik itu mendapati bahagian rumah dan dapur dipenuhi asap.
“Ketika itu, saya terpandang satu bahagian dinding sedang terbakar lalu segera mengejutkan anak saudara dan dua sepupu lalu bergegas keluar,” ujarnya.
Sebuah jentera dari Balai Bomba Jerteh bersama tujuh anggota yang diketuai oleh Zuzuki Safei bergegas ke tempat kejadian sebaik sahaja mendapat panggilan daripada penduduk kampung.
No comments:
Post a Comment