Seramai 48 peminta sedekah ditahan di negeri ini dari Januari hingga bulan lalu dengan kebanyakannya sudah menerima bantuan am Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
Hasil gerak kerja penguatkuasaan JKM dalam tempoh berkenaan, 12 peminta sedekah terbabit ditahan di daerah Kuala Terengganu, Hulu Terengganu (lapan), Marang (lima), Besut (dua), Setiu (enam), Kemaman (lima) dan Dungun (10).
Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Masyarakat dan Wanita negeri, Datuk Yahya Khatib Mohamad, berkata siasatan awal mendapati kebanyakan peminta sedekah yang ditahan sudah menerima bantuan am JKM dan sebahagian besar mereka berasal dari Kelantan serta Thailand.
Siasatan mendapati peminta sedekah dari Kelantan yang ditahan sudah menerima bantuan bulanan JKM. Kerajaan negeri dengan kerjasama JKM bercadang membuat pendaftaran jumlah peminta sedekah di negeri ini bagi mengenal pasti bentuk bantuan tambahan yang boleh disalurkan, selain bantuan am diberikan.
Jika pendaftaran senarai peminta sedekah di negeri ini dapat dilakukan, ia akan memudahkan kita menyalurkan pelbagai bantuan, katanya ketika ditemui di Kuala Terengganu.
Ditanya punca Terengganu menjadi lubuk peminta sedekah warga negeri lain, Yahya berkata, sikap pemurah dan mudah bersimpati di kalangan penduduk tempatan menyebabkan bandar besar di negeri ini menjadi tumpuan golongan berkenaan mencari rezeki.
Sebagai contoh, katanya, peminta sedekah dari Kelantan hanya menerima bantuan am JKM antara RM350 hingga RM450 dan berkemungkinan tiada bantuan lain daripada kerajaan negeri, menyebabkan ramai golongan miskin dari negeri itu terus mengemis di Terengganu untuk menambah pendapatan.
Namun, keadaan penduduk miskin di negeri ini berbeza kerana mereka diberi pelbagai bantuan, termasuk kediaman, wang ihsan dan pelbagai lagi dana selain bantuan am JKM. Justeru, tiada keperluan untuk mereka mengemis.
Mereka yang kurang upaya pula dibantu menerusi pembukaan penempatan khas seperti di Kampung Pulau Kerengga, Marang, dan dilatih menjalankan pelbagai kegiatan ekonomi bagi menambah pendapatan, katanya.
Yahya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Berangan berkata, kerajaan negeri menyediakan peruntukan sebanyak RM43.6 juta setahun bagi membantu 3,199 ibu tunggal, bapa tunggal (265), anak yatim (60) dan orang kurang upaya (913).
Berita Harian
No comments:
Post a Comment