Seorang anggota polis dan seorang buruh dihadapkan ke Mahkamah Majistret di Marang semalam atas tuduhan merompak sebuah kedai emas di Wakaf Tapai dengan menggunakan sepucuk revolver pada 28 Nov lepas.
Anggota polis berkenaan Lans Koperal Azizan Shaari, 28 yang bertugas di Cawangan Pengangkutan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hulu Terengganu dituduh bersama-sama Jeffridin Manan, 31 melakukan rompakan tersebut di Kedai Emas Swee Heng, Wakaf Tapai 11.30 pagi hari berkenaan.
Mengikut kertas pertuduhan, Azizan 48, didakwa melepas tembakan dengan menggunakan senjata api jenis revolver dengan niat untuk menyebabkan kematian atau kecederaan pemilik kedai emas tersebut Fong Swee Heng, 48.
Dia dituduh mengikut Seksyen 3 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat 1971) (Akta 37) dan boleh dihukum di bawah Seksyen yang sama akta tersebut yang dibaca bersama dengan Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh membawa hukuman mati.
Rakannya Jeffridin dituduh bersama-sama dengan Azizan melakukan rompakan tersebut dengan mempunyai pengetahuan bahawa Azizan mempunyai sepucuk revolver dalam milikannya dan telah melepaskan tembakan menggunakan senjata api tersebut dengan niat untuk menyebabkan kematian atau kecederaan ke atas pemilik kedai emas tersebut.
Dia didakwa mengikut Seksyen 3A Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat ) 1971 (Akta 37) yang dibaca bersama dengan Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman mati .
Kedua-dua tertuduh yang didakwa berasingan mengaku faham sebaik pertuduhan dibacakan oleh Majistret Nor Azizah Yusof. Bagaimanapun tiada pengakuan bersalah direkodkan.
Mahkamah kemudian menetapkan 12 Feb tahun depan sebagai tarikh sebutan semula kes itu untuk dibawa ke Mahkamah Tinggi sementara menunggu laporan balistik.
Tiada jaminan ditawarkan, manakala pertuduhan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya Masriwani Mahmud dan Nazlyza Mohd Nazri.
No comments:
Post a Comment