Tuesday, December 20, 2011

Anugerah Belia Peringkat Negeri Hari Ini

Sebanyak sembilan kategori akan dipertandingkan pada Anugerah Belia Negara peringkat negeri di Kuala Terengganu hari ini.

Pegawai Pembangunan Sosial Ekonomi Jabatan Belia dan Sukan (JBS) negeri, Fikri Mahmud berkata, lapan kategori dikhususkan untuk individu yang mewakili pelbagai pertubuhan belia termasuk aktivis sosial, kepimpinan, inovasi dan kreativiti, usahawan dan usahawan agro.

Menurutnya, kategori individu lain yang dipertandingkan ialah Daya Juang Malaysia Boleh, Tokoh Belia Lelaki dan Tokoh Belia Wanita.

"Pemenang setiap kategori akan menerima wang tunai RM3,000 dan sijil penghargaan manakala kategori Persatuan Belia akan menerima RM10,000," katanya semalam.

Beliau berkata, anugerah tahunan itu adalah sebagai menghargai sumbangan persatuan dan individu yang banyak membantu dalam meningkatkan pembangunan belia.

Katanya, Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan Negeri, Rozi Mamat akan menyempurnakan perasmian majlis tersebut dan turut menyampaikan hadiah kepada pemenang.

Dalam perkembangan lain beliau berkata, masa ini sebanyak 540 pertubuhan belia didaftarkan di negeri ini dengan mempunyai kira-kira 35,000 ahli.

Menurutnya, JBS sentiasa bekerjasama dengan Majlis Belia Negeri Terengganu dan Majlis Belia Daerah untuk memastikan program pembangunan belia dapat dimanfaatkan kepada golongan sasar.

Utusan Malaysia

No comments:

Post a Comment