Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) membelanjakan RM2.5 juta untuk zakat asnaf mualaf di negeri ini sepanjang tahun ini berbanding RM1.63 juta tahun lalu dan RM1.85 juta tahun 2009.
Ketua Pegawai Eksekutif MAIDAM, Wan Harujan Sulaiman berkata, anggaran perbelanjaan zakat untuk golongan itu dijangka meningkat kepada RM5.4 juta tahun depan.
Menurut beliau, perbelanjaan banyak tertumpu kepada program pembangunan insan saudara muslim termasuk bayaran elaun kepada 490 pelajar dan 25 orang guru bagi 19 kelas bimbingan saudara baharu itu di setiap daerah di seluruh negeri ini.
Katanya, kepelbagaian program diadakan termasuk lawatan dan kursus jati diri serta program integrasi sosial masyarakat Orang Asli di Perak, Kuala Lumpur dan Negeri Sembilan.
''Aktiviti lain adalah seperti agihan zakat hari raya, majlis berbuka puasa, kem Ramadan serta ibadah korban di samping majlis tilawah, hafazan al-Quran, azan dan kuiz saudara kita,'' katanya di Kuala Terengganu, semalam.
Menurut beliau, MAIDAM turut menyalurkan pelbagai bentuk bantuan am seperti bantuan perkahwinan, persekolahan, pengurusan jenazah, sara hidup, bantuan modal berdikari, baik pulih rumah, perubatan dan berkhatan.
Beliau berkata, seramai 118 orang didaftar memeluk agama Islam di negeri ini pada tahun ini sehingga awal Disember lalu berbanding 123 orang sepanjang tahun lalu.
Katanya, berikutan bilangan mualaf warga Thailand dan Kemboja yang agak ramai, MAIDAM bercadang mewujudkan Kelas Bimbingan Saudara Kita dalam bahasa Thai atau Kemboja.
''Usaha ini dilakukan bagi membolehkan kerja-kerja dakwah dilakukan kepada golongan tersebut dengan lebih berkesan,'' ujarnya.
Katanya, MAIDAM juga bercadang membuat tajaan penuh kepada saudara baru atau anak-anak saudara baharu yang cemerlang dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi khususnya dalam pengajian Islam agar dapat melahirkan lebih ramai pendakwah.
Selain itu, pihaknya bersedia mempertimbang untuk menyediakan peluang pengajian dalam bidang lain seperti kemahiran, kulinari dan teknikal kepada golongan berkenaan.
Utusan Malaysia
No comments:
Post a Comment