Tuesday, December 13, 2011

AWAS! Aktiviti Pantai Di Terengganu Berbahaya

Semua aktiviti pantai dan perkapalan termasuk kerja di pelantar minyak di negeri ini adalah berbahaya memandangkan keadaan laut bergelora buat masa ini, menurut Stesen Meteorologi Lapangan Terbang Sultan Mahmud dI Kuala Terengganu, semalam.

Jurucakap stesen itu berkata, angin kencang timur laut selaju 60 kilometer sejam dan ombak setinggi melebihi 5.5 meter dijangka berterusan sehingga Sabtu, 17 Dis ini.

Katanya dalam masa yang sama berlaku air pasang sehingga hari ini (13 Dis).

Sementara itu, jurucakap Majlis Keselamatan Negara (MKN) Terengganu berkata gelombang kedua banjir mula berlaku di Terengganu apabila seramai 196 dari 41 keluarga di Besut dipindah.

Mereka ialah yang tinggal di Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) Pengkalan Atap Kuala Besut dipindahkan ke Balai raya kampung itu.

Jurucakap Jabatan Pengairan dan Saliran bagaimanapun berkata paras air sungai utama di Terengganu tidak menampakkan tanda-tanda mencemaskan.

"Semuanya berada dalam keadaan stabil dan tidak membimbangkan setakat ini," katanya.

Dalam perkembangan terbaru, kesemua 196 penduduk Kuala Besut yang diarah berpindah itu masih tidak dibenarkan pulang.

Ini kerana ombak besar dan air laut pasang seperti yang berlaku semalam dijangka akan berlaku lagi malam ini, kata anggota Dewan Undangan Negeri Kuala Besut, Dr A Rahman Mokhtar.

Ekoran ombak setinggi empat meter yang membadai pantai di situ, dua benteng ombak yang dibina berhampiran perumahan berkenaan runtuh.

Katanya, pihak keselamatan kini diletakkan di kawasan berkenaan bagi memantau keadaan dan memberi laporan tentang keadaan semasa.

Laporan Sinar Harian pula menyebut, kejadian ombak besar yang disifatkan tsunami kecil melanda perairan pantai Dungun malam kelmarin bukan lagi satu fenomena baru bagi penduduk tempatan.

Namun, kejadian ombak setinggi kira-kira lima meter sehingga melintasi jalan raya utama di kawasan peranginan Pantai Teluk Lipat kira-kira jam 10 malam kelmarin agak mencemaskan peniaga berdekatan kerana kawasan perniagaan mereka digenangi air laut sehingga mencecah kira-kira 0.25 meter.

Kejadian pada malam kelmarin dianggap agak luar biasa kerana selain ombak besar, air laut juga turut melimpah masuk ke daratan sehingga membanjiri kawasan deretan medan selera Pantai Teluk Lipat.

Seorang peniaga, Wan Rohani Hassan, 54 berkata dia terpaksa menghentikan operasi lebih awal kerana bimbang jika berlaku situasi lebih buruk sehingga boleh mengancam keselamatan pekerja yang rata-rata terdiri daripada ahli keluarganya.

“Kami terpaksa menutup operasi kerana takut kalau-kalau dihanyutkan ombak besar. Jika keadaan ini berterusan, maka saya bersama peniaga lain mungkin terpaksa menutup operasi buat sementara waktu sehingga keadaan cuaca kembali pulih,” katanya.

No comments:

Post a Comment