Friday, December 30, 2011

Dadah, Ponteng: 8 Pegawai Bomba Dibuang Kerja

Lapan pegawai bomba di negeri ini dibuang kerja kerana kesalahan tatatertib setelah terbabit dalam penyalahgunaan dadah dan ponteng tugas.

Empat daripada mereka dibuang kerja dalam tempoh 11 bulan tahun ini manakala empat lagi sedang dalam proses dikenakan tindakan serupa.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri, Md. Salleh Sarbini memberitahu, kesemua pegawai lelaki itu berusia lingkungan 30-an dan ada di antara mereka didapati ponteng kerja selama setahun.

Beliau memberitahu, pembabitan pegawai berkenaan dengan dadah mendorong mereka tidak hadir bertugas selain melakukan kesalahan lain seperti kecuaian dan sebagainya.

"Mulanya, mereka ini terlibat dengan dadah yang kemudiannya menyebabkan mereka tidak datang bertugas, ada yang sampai setahun tak datang kerja.

"Mengikut peraturan, kalau dua hari tak datang kerja, anggota atau pegawai dikehendaki buat laporan, tapi dalam kes ini (buang kerja)," katanya selepas majlis Perhimpunan bulanan Jabatan Bomba dan Penyelamat Terengganu, di Kuala Terengganu, semalam.

Beliau memberi amaran jabatan tidak teragak-agak mengenakan tindakan tegas ke atas mana-mana anggota atau pegawai yang terbabit dalam sebarang kegiatan negatif khususnya jenayah sehingga menjejaskan imej pasukan itu.

Menurutnya, seluruh warga bomba sepatutnya berusaha meningkatkan prestasi demi masa depan lebih cemerlang sekali gus menghindari daripada terjerumus dalam gejala tidak sihat.

Terdahulu dalam ucapannya, beliau menarik perhatian dalam tempoh Januari hingga November lalu, statistik kebakaran mencatatkan penurunan iaitu 780 kes di negeri ini tahun ini berbanding 1,027 kes dalam tempoh sama tahun lalu.

"Bagaimanapun jumlah kerugian (akibat kebakaran) meningkat iaitu RM21.7 juta tahun ini berbanding RM13.2 juta tahun lalu," tambahnya.

Utusan Malaysia

No comments:

Post a Comment