Fenomena gerhana bulan penuh akan dapat disaksikan rakyat Malaysia dan di rantau Asia Tenggara pada 10 Disember, esok.
Rakyat Terengganu diajak ke Taman Tamadun Islam untuk meyaksikan keajaiban itu.
Menurut laman web falak-online, fenomena sama sebelum ini berlaku pada bulan Jun tahun lalu. Bagaimanapun, gerhana yang akan berlaku, dijangka tidak seperti tahun lepas yang mana ia berlaku pada lewat tengah malam sehingga matahari terbit keesokan paginya.
"Fenomena ini akan berlaku pada waktu puncak iaitu sebaik sahaja matahari terbenam dan berlarutan sehingga ke lewat tengah malam, tidak seperti gerhana lepas. Gerhana ini dijangka dapat disaksikan dengan mudah oleh orang ramai," laman web itu dipetik.
Fasa gerhana akan bermula pada jam 7.31 petang, namun apabila bulan mula menghampiri kawasan bayang-bayang bumi yang lebih gelap dikenali sebagai umbra, kesan gelapnya baru kelihatan iaitu sekitar jam 8.30 malam.
Bulan akan berada dalam bayang-bayang bumi sepenuhnya (fasa gerhana penuh) pada jam 10.05 hingga 10.57 malam dan akan keluar sepenuhnya daripada bayang-bayang umbra pada jam 12.18 tengah malam.
Selain itu, jumlah masa bulan bergelap di dalam bayang-bayang bumi sepenuhnya ialah selama 52 minit dan 16 saat.
No comments:
Post a Comment