Friday, December 2, 2011

Hakisan Hampiri Kawasan Tumpuan Awam di Kubang Badak

Pondok rehat semakin senget dan rosak akibat hakisan pantai di Kampung Kubang Badak, Kuala Terengganu, kelmarin.

Penduduk di pinggir pantai di Kampung Kubang Badak dan Tok Jembal dekat sini bimbang keadaan hakisan yang berlaku pada musim tengkujuh ini.

Hakisan yang berlaku semakin menghampiri kemudahan awam mereka manakala keindahan kawasan sekitar yang menjadi tumpuan umum semakin lenyap.

Hakisan semakin ketara sejak seminggu lalu apabila empat buah pondok rehat di tepi pantai hampir tumbang dipukul ombak kuat.

Tinjauan Utusan Malaysia mendapati, beberapa batang pokok termasuk kelapa juga tumbang sehingga menjejaskan pemandangan di kawasan tersebut.

Seorang penduduk, Muhammad Zafrie Osman, 34, berkata, kerja-kerja baik pulih dan penambakan kawasan pantai itu perlu disegerakan kerana ia merupakan kawasan tumpuan ramai terutamanya setiap kali hujung minggu.

"Sepatutnya, satu benteng perlu dibina untuk mengelak berlakunya masalah hakisan yang serius di kawasan itu.

"Jika tidak, saya khuatir lebih banyak pondok rehat dan kemudahan lain akan dirosakkan oleh ombak yang kuat setiap kali banjir atau hujan lebat," katanya.

Masalah hakisan di pantai itu sebelum ini mendapat perhatian Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) negeri yang bersetuju menambak kawasan sepanjang 450 meter itu dengan kos yang dianggarkan RM2.5 juta.

Dalam pada itu, seorang peniaga, Rubiah Soh, 42, turut sependapat dengan Muhammad Zafrie dan berharap agar kerja-kerja penambakan pantai itu disegerakan.

Katanya, walaupun masih dikunjungi orang ramai sehingga ke hari ini, tidak mustahil kawasan pantai itu akan dilupakan selepas ini.

"Pantai ini sebenarnya destinasi tumpuan terutamanya di kalangan penuntut Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dan Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) yang terletak berdekatan.

Utusan Malaysia

No comments:

Post a Comment