Pakar Perlembagaan, Profesor Dr Aziz Bari berkata, Kerajaan Terengganu sebenarnya lebih mudah untuk melaksanakan undang-undang hudud kerana diperintah parti haluan sama dengan Kerajaan Pusat.
Mengulas kenyataan Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said dalam akhbar Sinar Harian 7 Disember lalu yang mengatakan kerajaan pimpinannya sedia untuk laksanakan hudud namun perlu membuat beberapa persediaan teliti melibatkan semua aspek, Dr Aziz berkata, ia sebenarnya merupakan satu alasan tidak kukuh kerana kerajaan pimpinan Ahmad itu sebenarnya boleh melaksanakan undang-undang berkenaan dan segala kekurangan dari segi teknikal boleh dilihat serta dibaiki apabila ia dilaksanakan kelak.
“Masalah dari segi prasarana hanya boleh dilihat apabila dilaksanakan nanti, kalau tidak dicuba, tidak dilaksanakan macam mana kita hendak tahu sama ada hudud boleh jalan atau tidak.
“Jadi ia amat mengecewakan kerana sepatutnya dengan parti yang sama dengan kerajaan negeri, ia menjadi satu pemangkin atau satu perkara yang memberikan lonja¬kan dan memudahkan pelaksanaan, jadi saya tidak nampak dalam keadaan parti yang sama antara Pusat dan Terengganu, sepatutnya tidak ada masalah, mengapa tidak dicuba dahulu,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menyampaikan ucapan pada satu program anjuran Badan Bertindak Pewaris Bumi Malaysia (Waris) di Mayang Sari Resort, dekat Dungun, petang kelmarin.
Sinar Harian
No comments:
Post a Comment