Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Aibidin berkenan berangkat merasmikan Karnival Hijrah di Dataran Shahbandar, Kuala Terengganu petang semalam.
Mengiringi keberangkatan baginda ialah Tengku Seri Temenggong Raja Tengku Baharuddin; Menteri Besar Datuk Seri Haji Ahmad Said; Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom dan Pengerusi TV Alhijrah, Tan Sri Dr Mohd Yusof Nor.
Sebaik selesai menekan butang gimik pelancaran Sultan Mizan berkenan berangkat ke tapak pameran dan mencemar duli ke konti TV Alhijrah, pameran Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) serta beberapa agensi Pusat dan negeri .
Sebanyak 44 buah agensi dari Jabatan Perdana Menteri (JPM), kerajaan negeri , TV Alhijrah serta manis FM turut serta memeriahkankan carnival yang berlangsung selama tiga hari bermula semalam.
Karnival anjuran bersama JPM, kerajaan negeri dan TV Alhijrah ini menyelit pelbagai pengisian bercorak keagamaan seperti siaran langsung rancangan Program Assalamualaikum melalui TV Alhijrah, rakaman Foram Perdana semalam dan program bersama Ustaz Don.
Jamil Khir menganggarkan lebih 200,000 orang akan berkunjung ke karnival yang sarat dengan pameran sejarah Islam serta pertama kali diadakan di luar Kuala Lumpur bertemakan 'Hijrah 1Transformasi’.
Dalam ucapan perasmian, Menteri itu berkata karnival yang bertemakan semangat dan konsep hijrah ini mengajak umat untuk berubah ke arah kehidupan yang lebih baik dan sejahtera.
Katanya, berlandaskan roh dan semangat hijrah, seluruh rakyat diajak untuk menghayati erti sebenar istilah hijrah dan tranformasi seperti terkandung dalam tema karnival iaitu
“Hijrah sebagai pencetus kepada era baru tranformasi, bersesuai dengan hasrat kerajaan untuk menerapkan nilai-nilai kecemerlangan dalam bidang keIslaman,” katanya.
Katanya, kerajaan telah mengambil pendekatan dengan memperkenalkan Program Transformasi Kerajaan (GTP) dan Program Transformasi Ekonomi (ETP) bertujuan meminjam semangat hijrah menyuburkan perkembangan prestasi kehidupan merangkumi bidang ekonomi, teknologi dalam kerangka pembangunan Islam.
“Semestinya, segala usaha kerajaan dalam meningkatkan kualiti kehidupan rakyat adalah menepati makna, semangat serta matlamat hijrah seperti disunnahkan oleh Rasullullah s.a.w.,” katanya.
No comments:
Post a Comment