Saturday, December 3, 2011

Kawasan Rendah Di Pahang Dan Johor Berisiko Banjir

Hujan berterusan yang dijangka berlaku di Pahang dan Johor sehingga hari ini boleh menyebabkan banjir di kawasan-kawasan yang berkedudukan rendah.

Menurut kenyataan Jabatan Meteorologi Malaysia kawasan yang terlibat di Pahang ialah daerah Kuantan, Pekan dan Rompin manakala Johor membabitkan daerah Mersing dan Kota Tinggi.

Selain itu, kawasan pantai Pahang, Johor timur, Kelantan dan Terengganu dijangka mengalami kenaikan paras air laut ekoran angin kencang dan ombak kuat sehingga Ahad.

Kenyataan itu juga mengeluarkan amaran angin kencang timur laut dengan kelajuan 60 kmsj dan ombak melebihi 5.5 meter di kawasan perairan Pahang, Johor timur, Tioman, Bunguran, Condore, Reef North, Reef South dan Layang-layang di mana keadaan dijangka berterusan sehingga 13 Dis.

Amaran angin kencang dengan kelajuan 50-60 kmsj dengan ketinggian ombak mencecah sehingga 4.5 meter dijangka berterusan sehingga 13 Dis di kawasan perairan Kelantan, Terengganu, Labuan dan beberapa kawasan di Sabah seperti di kawasan pedalaman, Pantai Barat dan Kudat di samping Samui dan Palawan.

Menurut kenyataan itu lagi keadaan ini berbahaya kepada semua aktiviti pantai dan perkapalan termasuk pekerja di pelantar minyak, menangkap ikan, perkhidmatan feri, bot-bot kecil, rekreasi laut dan sukan laut.

No comments:

Post a Comment