Rombongan kayuhan Jejak Perpaduan 1Malaysia peringkat Zon Timur singgah di Parlimen Kuala Nerus dengan lebih 100 belia dan pemimpin masyarakat berbasikal dengan membawa mesej perpaduan 1Malaysia.
Program anjuran bersama Biro Tata Negara (BTN), Pertubuhan Penyokong Integrasi Perpaduan dan Prihatin Nasional Malaysia (Pemimpin) dan Kelab 'Ngayuh' Kuala Nerus itu bermula di pekarangan Pejabat Ahli Parlimen Kuala Nerus.
Jurucakap program itu, Apli Yusoff berkata, peserta singgah di Pasar Batu Enam sebelum ke Pasar Bukit Tunggal untuk bersama masyarakat peniaga sambil mengedarkan poster mesej 1Malaysia dan kalendar 2012.
"Sejurus selepas itu, mereka ke Pulau Duyong untuk menyertai aktiviti khidmat masyarakat dan sebahagian daripada peserta akan bermalam di inap desa di situ," katanya ketika ditemui di Pasar Batu Enam hari ini.
Program yang membawa 15 pengayuh tetap itu berlangsung selama tujuh hari yang bermula di Besut semalam setelah menamatkan misi kayuhan di Kelantan sebelum meneruskan perjalanan ke Pahang.
Sejurus selepas program sehari di Kuala Nerus katanya, kayuhan diteruskan ke Pantai Batu Buruk di Parlimen Kuala Terengganu, Kampung Surau Haji Yaacob (Marang), Pulau Serai (Dungun) dan berakhir di Kampung Geliga (Kemaman).
"Di setiap persinggahan, jelajah berkenaan akan bersama dengan masyarakat setempat untuk pelbagai aktiviti dan setiap Parlimen akan disertai belia berbasikal," katanya yang juga Pengerusi Kelab 'Ngayuh' Kuala Nerus.
Sementara itu, BTN dalam satu kenyataan berkata, Zon Utara adalah zon pertama memulakan program itu sebelum diikuti kayuhan oleh 15 peserta dari Zon Timur yang bermula di Rantau Panjang, Kelantan pada 6 Disember lalu.
Menurut kenyataan itu, seterusnya 14 peserta daripada Zon Selatan bermula di Johor Bharu, Johor pada 12 Disember lalu dan 10 peserta Zon Sabah dan Sarawak bermula di Kota Kinabalu dan Kuching pada 20 Disember ini.
Keseluruhan pengayuh tetap adalah 54 orang mengambil sempena 54 tahun negara mencapai kemerdekaan dan sama-sama mengayuh basikal mengelilingi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya pada 29 dan 30 Disember ini.
Pada 31 Disember ini, para peserta terbabit akan berbasikal ke majlis sambutan tahun baru 2012 di Shah Alam dan seorang wakil mereka akan menyerahkan Buku Jejak Perpaduan bagi program itu kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
No comments:
Post a Comment