Monday, December 26, 2011

Kereta Curi Terbabas, Pencuri Wanita Ditahan

Seorang wanita sempat melarikan sebuah kereta jenis Proton Waja yang dicurinya sejauh 100 kilometer sebelum kenderaan itu terbabas ketika dikejar polis, di Kampung Pengkalan Kubu di Besut semalam.

Suspek sebelum itu dikatakan mencuri kenderaan tersebut di Kuala Terengganu sebelum dia diberkas oleh polis yang mengejarnya setelah mendapat maklumat mengenai kehilangan kereta berkenaan.

Sepasukan anggota dari Balai Polis Beting Lintang berjaya mengesan kenderaan tersebut dan mengejarnya sejauh tiga kilometer sebelum kereta itu terbabas di laluan selekoh.

Difahamkan, selepas terbabas, wanita itu sempat melarikan diri ke sebuah kampung dan cuba meminjam telefon daripada penduduk untuk menghubungi rakannya namun dia berjaya ditahan.

Timbalan Ketua Polis Daerah, Deputi Supritendan Mohd. Zainy Mohd. Nor ketika dihubungi hari ini berkata, suspek ditahan polis kira-kira pukul 3 petang.

"Kita mengesan suspek beberapa kilometer dari tempat kejadian selepas kereta dipandunya terbabas dan terbalik di bahu jalan.

"Wanita itu kini ditahan untuk siasatan mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Zambri Shamsuddin ketika dihubungi mengesahkan kereta tersebut dicuri berdekatan Jabatan Perangkaan berhampiran Jalan Pasir Panjang.

Katanya, kenderaan berkenaan dipercayai telah dicuri kira-kira pukul 8.50 pagi.

No comments:

Post a Comment