Dalam tempoh 11 bulan pertama tahun ini, seramai 12,830 pelawat mengunjungi Pusat Konservasi dan Penerangan Penyu Rantau Abang di Dungun.
Pengarah Jabatan Perikanan negeri Zakaria Ismail berkata daripada jumlah itu, 11,799 orang adalah pelawat dalam negara manakala bakinya dari luar.
“Setiap pelawat yang datang ke situ dapat melihat pemeran tuntung hidup di samping diberi penerangan mengenai hidupan penyu,” katanya di Kuala Terengganu, kelmarin.
Katanya sesetengah pelawat itu turut dibawa bermalam di pusat penetasan penyu di Ma’, Kerteh.
Terengganu mempunyai 11 pusat penetasan penyu yang dikendalikan pelbagai pihak termasuk Jabatan perikanan, badan bukan kerajaan dan Dana Hidupan Liar Sedunia Malaysia.
Zakaria berkata bagi pusat penetasan yang dikendalikan Jabatan Perikanan, telur penyu yang dierami itu diperolehi di kawasan rezab kerajaan ataupun melalui pembelian daripada pemajak.
Sepanjang tahun ini, jabatan itu mengeramkan hampir 94,000 biji telur dan daripada jumlah itu kira-kira 66,000 berjaya ditetaskan serta dilepaskan ke laut.
No comments:
Post a Comment